PETALING JAYA: Bekas menteri Kabinet, Datuk Seri Mustapha Mohamed menolak tawaran Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) untuk dicalonkan bertanding merebut kerusi Parlimen Gua Musang atau Jeli jika pilihan raya kecil (PRK) berlangsung.
Mustapha atau popular dipanggil Tok Pa berkata, beliau telah meletak semua jawatan dan sebagai ahli dalam Bersatu pada 30 September tahun lalu.
“Saya mengulangi sekali lagi kenyataan yang dikeluarkan pada 2 November 2022 bahawa saya sudah ‘pencen’ daripada politik apabila membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Mustapa menjawab kenyataan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md. Noor yang sedia memberi laluan kepada beliau untuk bertanding di Parlimen Gua Musang atau Jeli jika PRK diadakan.
Bagaimanapun, Kamaruddin berkata, langkah untuk mencalonkan Mustapha dan seorang lagi pemimpin ke Dewan Rakyat perlu mendapat persetujuan pucuk pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“Kita serah kepada pucuk pimpinan untuk buat keputusan muktamad, jika ada cadangan (calonkan Tan Sri Annuar Musa dan Mustapa).
“Perbincangan dibuat peringkat atas kita (Bersatu Kelantan) menerima apa saja keputusan, selepas peringkat akar umbi memberi maklum balas kerana yang lebih penting kemenangan untuk Bersatu dan PN,” kata Kamaruddin
Pada Julai 2023 Mustapa yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas ketika itu memaklumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bekas Ahli Parlimen Jeli itu juga memaklumkan beliau sudah pencen dan Kamaruddin sudah dimaklumkan perkara itu sebelum ini.- UTUSAN










