KUALA TERENGGANU : Kerajaan perlu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ancaman perubahan iklim pada ekosistem marin bagi meminimakan kelunturan terumbu karang berskala besar yang sedang berlaku di perairan Malaysia ketika ini.
Pakar penyelidik batu karang Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong berkata, antara tindakan yang boleh diambil kerajaan ialah mengehadkan jumlah pengunjung untuk melakukan aktiviti air di sesuatu kawasan.
Selain itu, beliau berkata, kawasan terumbu karang yang mengalami kelunturan karang yang tinggi melebihi 50 peratus haruslah dipertimbangkan untuk ditutup.
“Cara ini bertujuan untuk mengurangkan tekanan manusia ke atas terumbu karang.
“Ia perlu dijalankan secara teratur dengan komunikasi yang jelas dengan pihak berkepentingan seperti kedai-kedai selaman, pengusaha pelancongan dan resort di pulau supaya mereka memahami rasional di sebalik tindakan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Utusan Malaysia hari inimelaporkan terumbu karang di negara ini sedang mengalami isu kelunturan besar-besaran ‘mass coral bleaching’ akibat peningkatan suhu permukaan laut yang boleh memberi implikasi serius terhadap biodiversiti marin, perikanan terumbu karang dan pelancongan di Malaysia.
Perkara tersebut disahkan oleh
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) yang memaklumkan perkara itu dikenal pasti melalui bantuan dan laporan diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, operator selam skuba dan penyelam skuba serta pemantauan kelunturan terumbu karang yang dijalankan NGO dan penyelidik tempatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, UMT sebagai sebuah universiti yang memfokuskan penyelidikan marin telah mula menjalankan kajian mengenai kelunturan terumbu karang sejak tahun 2010 semasa kelunturan karang dunia yang kedua.
“Dalam kajian tentang perubahan iklim, penyelidik UMT menjalankan penyelidikan untuk memahami adaptasi terumbu karang dalam impak perubahan global.
“Kami menggunakan kaedah terkini seperti teknik DNA dan RNA untuk memahami tindak balas alga zooxanthellae di dalam terumbu karang semasa berlakunya kelunturan tersebut.
“Hasil-hasil kajian sedemikian kemudian digunakan di dalam program pemuliharaan karang seperti restorasi karang untuk meningkatkan daya tahan terumbu karang dan usaha yang mapan ini, diharapkan dapat meningkatkan kelestarian terumbu karang,” katanya. – UTUSAN










