PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2024.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan, melalui keputusan itu, pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.
Secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik secara bersasar bagi tempoh tersebut yang akan dibiayai kerajaan adalah sebanyak RM2.192 bilion.
Selain itu, menurutnya, pengguna-pengguna komersial dan industri akan mengalami penurunan kadar surcaj ICPT sebanyak 1 sen/kWj bagi tempoh sama.
“Kerajaan berharap agar penurunan kadar surcaj ICPT kepada kategori ini dapat terus mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran.
“Di samping menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia, ia seterusnya dapat meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian itu turut berkata, kerajaan juga bersetuju menurunkan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tempoh sama.
Langkah ini supaya pihak PBT dapat menyediakan perkhidmatan pencahayaan yang menyeluruh di kawasan awam seperti lampu-lampu jalan, lampu taman-taman perumahan dan lampu kawasan rekreasi.
“Kementerian percaya pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan terbaik pada masa ini supaya dapat mengurangkan komitmen subsidi kerajaan yang mana peruntukan tersebut akan disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat.
“Ia pada masa sama membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara,” katanya.
Selain itu, kerajaan kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.
Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran.
“Walaupun tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh ini, pengguna disaran untuk sentiasa menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan mengamalkan amalan cekap tenaga.
“Di bawah Program SAVE 4.0, pengguna boleh menerima e-rebat sehingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga yang mendapat penarafan 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST),” katanya.
Jelasnya, pengguna juga digalakkan untuk menyertai inisiatif pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di bangunan kediaman masing-masing di bawah Program NetEnergy Metering (NEM).
Melalui program baharu Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS), katanya, pengguna baharu Program NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada dan selepas 1 April 2024 akan menerima rebat RM1,000/kwAC sehingga maksimum RM4,000.
“Pengguna boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan oleh Kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing.
“Kerajaan berharap agar pemberian subsidi elektrik ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat sekaligus memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan,” katanya.-UTUSAN











