Teruja lihat kenderaan milik Sultan Ibrahim

Teruja lihat kenderaan milik Sultan Ibrahim

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang melihat Trak Mack pada pameran khas Aset Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Orang ramai teruja kerana berpeluang melihat 37 koleksi kenderaan milik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi menerusi pa­meran khas Aset Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.

Rata-rata pengunjung ketika ditemui Utusan Malaysia melahirkan rasa gembira berpeluang melihat dari dekat sebahagian daripada kenderaan milik Sultan Ibrahim yang pertama kali diadakan di negeri ini.

Antara yang mencuri perhatian adalah Trak Mack yang dipercayai mencecah RM1.4 juta, Mercedes 600 Pullman, Lincoln Continental Mark V dan bot mewah Cigarette Marauder.

Seorang pengunjung, Zairul Ibrahim, 44, dari Bukit Katil berkata, peluang melihat dari dekat kenderaan milik Yang di-Pertuan Agong sememangnya dinanti-nantikan selepas mendapat tahu pameran itu berlangsung di MITC, sejak Jumaat lalu.

“Saya ke sini semata-mata mahu melihat dari dekat aset automotif milik keluarga Diraja Johor kerana sering melihatnya di akhbar, TikTok dan Facebook,” ujarnya yang juga seorang penjawat awam.

Katanya, dalam banyak koleksi tersebut paling mengujakannya adalah Trak Mack yang digunakan sewaktu siri ekspedisi Kembara Mahkota Johor.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Harraz Hanafi, 16, dari Ayer Keroh berkata, dia sangat meminati pelbagai jenis kenderaan milik keluarga Diraja Johor.

Menurutnya, dia sering melihatnya di akhbar dan media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram.

“Bila saya dapat tahu ada pameran khas Aset Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor saya tidak lepaskan peluang untuk melihat dari dekat pelbagai kenderaan mewah yang dipamerkan,” ujarnya.

Bagi seorang pengunjung, Norazah Khamis, 53, dari Durian Tunggal pula, dia dan dua anaknya sangat teruja melihat sebuah kereta Mercedes 600 Pullman dan Lamborghini Miura SV. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN