Terap teknologi AI dengan nilai ilmu Islam

Terap teknologi AI dengan nilai ilmu Islam

ANWAR Ibrahim bersama Amirudin Shari (tiga dari kanan) dan Ali Jum’ah (tiga dari kiri) menunjukkan buku kitab Ihya’ Ulumuddin dan Hadis 40 Imam Nawawi semasa perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin sempena Festival Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan golongan muda perlu diterapkan dengan nilai keilmuan Islam termasuk dalam pengajian turath atau kitab warisan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penerapan itu perlu dilakukan supaya acuan AI dari negara Islam tidak terpisah dari sistem, nilai dan akhlak.

Beliau berkata, terlalu mengikut acuan Barat menjadi antara kebimbangan dalam usaha mengembangkan penggunaan teknologi berkenaan.

“Ia terserah kepada kita kalau ia mahu dikembangkan di Malaysia dan saya sedang mengasak kuat supaya universiti mempunyai fakulti AI dan seumpamanya. Jika mahu berjaya, anak kita yang mempu­nyai kemahiran kepakaran itu mesti dilatih dengan nilai atau khazanah ilmu Islam termasuk turath dalam korpus tersebut.

“Jadi, apa yang ‘dimuntahkan’ robot baharu AI itu adalah berdasarkan ilmu yang dima­sukkan kepadanya. Kini, kita hanya serah kepada Barat,” katanya ketika berucap me­rasmikan Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin sempena Festival Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau meluncurkan Terjemahan Kitab Ihya’ Ulumuddin dan Hadis 40 Imam Nawawi dengan turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan bekas Imam Besar Mesir, Prof. Dr. Ali Jum’ah.

Anwar berkata, turath mempunyai kaitan dan fungsi untuk diterapkan dalam teknologi AI supaya ilmu itu tidak terpisah dengan sistem serta nilai akhlak Islam.
Dalam pada itu, beliau meminta semua institusi pendidikan dan pelajar Islam mendalami Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

“Apa yang paling pentingnya adalah membaca hadis matan, terjemahan dan syarahannya.

“Kupasan Syeikh Dr. Ali Jum’ah yang diterbitkan itu menjadi salah satu panduan ke­rana hadis tidak boleh dikupas secara rambang mengikut tafsiran dan kepentingan tersendiri.

“Kekuatan umat Islam harus datang daripada ilmu sahih dan benar yang kita gali menerusi sumber tradisi luas serta mendalam,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi mula dilaksanakan di semua institusi pendidikan pada sesi persekolahan 2024/2025 bagi memartabatkan syiar Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN