ALOR SETAR: Meskipun menghargai pemberian insentif pembajakan dan penuaian sebanyak RM210, petani menyifatkan jumlah itu belum mencukupi untuk menampung peningkatan kos mengusahakan tanaman padi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Badan Bertindak Petani di kawasan MADA, Che Ani Mat Zain berkata, bantuan itu tidak dapat membiayai 100 peratus kos tambahan yang diperlukan pesawah setiap musim.
Katanya, dengan jangkaan sekurang-kurangnya 20 peratus kenaikan kos mengusahakan tanaman padi disebabkan peningkatan harga diesel, bantuan itu sudah pasti digunakan sepenuhnya untuk menampung kenaikan terbabit.
“Berdasarkan harga diesel lama, anggaran kasar kos menyewa mesin padi dan traktor membajak adalah kira-kira RM1,500 sehektar. Jika kenaikan sekitar 20 peratus, kami perlu mengeluarkan kira-kira RM300 untuk menampung kos tambahan.
“Sedangkan insentif itu berjumlah RM210 sehektar. Mahu tidak mahu baki lagi RM90 perlu dikeluarkan daripada poket petani yang sudah tentu memberi kesan kepada perbelanjaan menanam padi. Bayangkan pula jika kenaikan mencecah 30 peratus atau lebih,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan, seramai 130,000 pesawah di Semenanjung menerima bantuan insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 sehektar per musim.
Kenyataan KPKM itu menyebut, ia sebagai menambah baik kadar sedia ada insentif pembajakan iaitu daripada RM100 sehektar per musim kepada RM160 selain memperkenal insentif baharu penuaian pada kadar RM50 sehektar per musim.
Menurut Che Ani, petani juga perlu memikirkan kos-kos input pertanian lain seperti benih padi, racun dan baja yang dijangka turut naik akibat kos pengangkutan yang meningkat ketika ini.
Ujarnya, beban kenaikan kos pengeluaran padi dan harga belian padi dilihat masih tidak seimbang, malah akan terus memberi tekanan terutaman kepada pesawah yang hanya mengusahakan sawah dengan keluasan kurang tiga hektar.
“Kebanyakan petani di Kedah dan Perlis hanya ada sawah kurang tiga hektar, jualan hasil padi kadangkala tak cukup pun hendak bayar sewa jentera. Ada pesawah selepas tolak hutang musim lalu, masih lagi berhutang.
“Sebab itu golongan pesawah melihat bantuan yang diberikan kerajaan kepada kami masih tidak seimbang dengan kos pengeluaran padi yang sebenarnya sehingga ramai petani tidak lagi sanggup mengusahakan sawah mereka,” katanya. – UTUSAN










