Suami dimarahi isteri kerana kaki pancing akhirnya buka kolam sendiri - Utusan Malaysia

Suami dimarahi isteri kerana kaki pancing akhirnya buka kolam sendiri

Kaki pancing
MOHD. Razif Aini bergambar bersama Mohamad Zaidi Sungip yang memenangi motosikal Yamaha LC135 dan Hamzah Musa memenangi Yamaha RXZ dalam cabutan bertuah pada Pertandingan Memancing Kolam Pancing Abah23 Paradise di Sabak Bernam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Asal daripada minat akhirnya menjadi antara sumber pendapatan, begitu hobi seorang pemancing tegar yang juga peniaga sebuah restoran makanan laut di Sekinchan, bukan menjual ikan, sebaliknya membuka kolam pancing.

Ini kerana, perusahaannya itu bermula daripada idea-idea yang disifatkan sebagai ‘gila’ seperti dilakukan terhadap restorannya, Abah Ikan Bakar dengan meletakkan papan tanda ‘Ini wilayah Abah Ikan Bakar’ sepanjang jalan di Sekinchan sehingga menimbulkan pertanyaan penduduk tempatan.

Menurut, Mohd. Razif Aini, asalnya dia mengusahakan restoran tersebut bersama keluarga, namun tidak dapat melepaskan hobi tegarnya iaitu memancing yang diminatinya sejak zaman kanak-kanak.

“Saya ada restoran yang diusahakan sejak 2017, kemudian berdepan masalah kewangan tidak stabil sebelum ia memulih sekitar 2019 hingga 2020, zaman Covid-19, saya buat idea gila, jual makanan laut pukul 10 pagi, tetapi laku, orang datang hendak makan seafood.

“Yang paling teruk ketika itu saya ada beban kewangan hampir RM1juta, tetapi saya tetap sibuk memancing sampai isteri pun marah. Akhirnya ada seorang pemilik tanah yang mempunyai kolam pancing bertemu dan membenarkan saya mengusahakannya.

“Itu menjadi peluang kepada saya, memang fikir hendak tukar hobi jadi pendapatan, sebab sudah kena marah. Jadi saya buka Kolam Pancing Abah23 Paradise pada 3 Jun tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Memancing Kolam Pancing Abah23 Paradise, hari ini.

Seramai 220 kaki pancing menyertai pertandingan tersebut dengan hadiah utama iaitu wang tunai bernilai RM3,000 yang dimenangi oleh Mohd. Azhar, Ahmad Yusof, 39, apabila berjaya memancing ikan siakap seberat 3.38 kilogram.

Selain pertandingan, peserta turut berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah seperti barangan elektrik serta motosikal Yamaha LC135 serta Yamaha RXZ yang dimenangi oleh Mohamad Zaidi Sungip dan Hamzah Musa.

Jelas, Mohd. Razif, 38, usahanya membuka perniagaan kolam pancing tersebut tidak mudah dan berdepan dengan masalah mendapatkan kepercayaan daripada ‘kaki pancing’ dan pembekal ikan dalam tempoh tiga hingga empat bulan pertama.

“Bayangkan, tiga bulan pertama pun sudah kena gelak, orang cakap ‘gemuk ni tak boleh pergi’, macam-macamlah. Sampai tak ada pembekal berani bekalkan ikan kepada kolam saya. Bila belajar dengan pengusaha kolam lain pun mereka tanya ‘berapa juta ringgit kau ada? Ketika itu modal saya cuma sekitar RM20,000.

“Akhirnya saya selesaikan masalah ikan dengan dapatkan bekalan daripada pembekal restoran saya. Cuma masa itu pemancing bising ikan kecil-kecil. Lama saya rasa kumpulkan modal, kekuatan dan fikir idea gila lain iaitu ‘macam mana hendak beritahu ikan supaya makan umpan orang’.

“Lama kelamaan, saya anjur pelbagai aktiviti, akhirnya dalam tempoh setahun beban kewangan saya selesai. Saya teruskan perusahaan kolam pancing dan memastikan ia menjadi sumber rezeki pemancing lain juga,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN