SKMM mula proses lantik syarikat bangunkan rangkaian 5G kedua

SKMM mula proses lantik syarikat bangunkan rangkaian 5G kedua

Fahmi Fadzil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memulakan proses untuk menentu dan melantik syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih (MNO) untuk memperkembangkan rangkaian 5G di dalam negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, syarikat yang bakal dipilih nanti akan membangunkan rangkaian 5G kedua di Malaysia.

Menurut beliau, kerajaan juga akan mengeluarkan pakej maklumat pemohon (AIP) pada 1 Julai ini.

“Proses ini akan dilaksanakan secara telus berdasarkan kuasa dan peruntukan yang termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kementerian Komunikasi komited bagi melaksanakan keputusan kerajaan agar negara beralih kepada model dwi rangkaian 5G dalam usaha untuk menamatkan unsur monopoli perkhidmatan 5G, sekali gus memacu hala tuju industri telekomunikasi yang lebih berdaya saing dan mapan,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, kerajaan terus komited untuk melaksana dasar model dwi rangkaian 5G.

Ini selepas syarikat-syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam pelaksanaan model dwi rangkaian tersebut akan melengkapkan proses pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) pada 21 Jun ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kementeriannya menyambut baik pengumuman pihak DNB berkenaan penyempurnaan syarat-syarat duluan atau conditions precedent bagi Share Subsription Agreement (SSA) bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications untuk memegang saham dalam DNB.

Jelasnya, perkara tersebut merupakan langkah utama ke arah peralihan model dwirangkaian 5G di Malaysia.

“Pelaksanaan rangkaian 5G kedua ini akan dapat membantu usaha meningkatkan liputan 5G, mewujudkan persaingan sihat dalam sektor telekomunikasi, serta memastikan harga pelan dan mutu perkhidmatan 5G yang baik untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×