PETALING JAYA: Polis masih menjalankan siasatan terhadap ibu bapa kepada kanak kanak-kanak Autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin ketika ini.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan ke atas pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu masih diteruskan dan sebarang keperluan untuk melanjutkan tempoh tahanan reman bergantung kepada keputusan hasil soal-siasat
“Kita masih menjalankan siasatan pelbagai sudut. Perlanjutan tempoh reman kedua-dua mereka adalah bergantung kepada keputusan soal siasat yang sedang dikendalikan polis terhadap pasangan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 31 Mei lalu, ibu bapa kepada kanak-kanak malang itu telah ditahan polis di rumah keluarga mereka yang terletak di Puncak Alam sekitar pukul 11 pagi.
Kemudian pasangan itu telah direman di Mahkamah Petaling Jaya selama seminggu sehingga 7 Jun ini untuk membantu siasatan kes di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Rentetan daripada tangkapan itu, polis turut memanggil pengasuh dan dua lagi ahli keluarga Allahyarham Zayn untuk membantu siasatan lanjut dalam kes tersebut semalam.
Dalam kejadian pada 5 Disember lalu, polis menerima laporan polis kehilangan anak autism itu di Apartmen Idaman, Damansara Damai sebelum mayatnya ditemukan di anak sungai yang terletak 200 meter dari apartmen Idaman sekitar pukul 9 malam.
Sebanyak 228 sampel DNA telah dikumpul oleh polis menerusi pemeriksaan yang dijalankan ke atas penduduk di Apartmen Idaman.
Sementara itu, ibu bapa Zayn Rayyan yang direman tujuh hari bagi siasatan lanjut, sudah melantik peguam baharu bagi mewakili mereka.
Datuk kepada kanak-kanak itu, Zahari Mohd. Reba mengesahkan dia sudah melantik peguam baharu.
“Maaf ya..buat masa ini saya tidak boleh beri apa-apa kenyataan lagi atas nasihat peguam saya,” katanya di sini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan peguam mewakili ibu bapa Zayn, Rayyan Abdul Matiin yang kini ditahan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memaklumkan bahawa beliau tidak lagi mewakili mereka bermula semalam. – UTUSAN










