Semoga doa kehadiran malaikat kecil termakbul - Utusan Malaysia

Semoga doa kehadiran malaikat kecil termakbul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TATKALA pasangan sama cantik, sama padan ini melangkah memasuki ruang persandingan, ramai yang mendoakan agar mereka kekal bahagia hingga ke syurga. Sentiasa terlihat bahagia penuh suka.

Namun hakikatnya, dalam setahun perkahwinan mereka, ada satu pengharapan yang sentiasa dipanjatkan kepada Tuhan. Mereka menantikan kehadiran malaikat kecil dalam perkahwinan yang dibina.

Percaya dengan ketentuan Ilahi, air mata Janna Nick menjadi saksi pengharapan itu. Semoga ada doa yang termakbul dalam kalangan mereka yang hadir di majlis resepsi sempena ulang tahun pertama perkahwinan mereka.

Hits membingkai momen indah di majlis tersebut untuk tatapan anda. Mengorek dalam perasaan dan harapan mereka.

H: Setahun perkahwinan, jika boleh dirumuskan dengan kata-kata, bagaimana kehidupan kalian sebagai suami isteri?

D: Alhamdulillah, kalau boleh saya rumuskan, sangat menyeronokkan. Setahun yang cukup indah. Kami banyak belajar tentang diri masing-masing. 

Bagi saya, ini adalah satu perjalanan yang cukup indah, terutama dalam perkahwinan. Kami sangat menghargai momen-momen yang dilalui. Semestinya, ada fasa kita bahagia bersama dan adakala bergaduh juga.

Tetapi kami berdua mencuba sebaik mungkin untuk beri yang terindah untuk diri kami sendiri. Insya-Allah, doakan kebahagiaan ini akan berkekalan sehingga ke syurga.

H: Janna seperti begitu beremosi malam ini? Banyak tangisan, air mata kegembiraan yang menjadi bukti kebahagiaan kalian?

J: Saya tak sangka, kejutan Dini kali ini menjadi. Selalu kalau dia rancang nak kejutkan saya, gagal. Tetapi kali ini, disaksikan rakan-rakan dan keluarga, dia buat saya rasa terharu dan bahagia sangat.

Saya memang rancang nak sambung belajar. Mula-mula ingat dia tak ambil serius, tapi rupanya dalam diam dia simpan jawapan dan keizinannya dalam video yang ditayangkan. Gembira sangat.

H: Antara momen yang mengharukan lagi adalah keinginan Janna mengharapkan kehadiran malaikat kecil dalam hidup kalian? Janna benar-benar menantikan detik bergelar ibu itu?

J: Saya rasa, di usia 29 tahun ini, saya sudah capai apa yang saya inginkan dalam kehidupan dan kerjaya. Tetapi satu sahaja doa yang belum tercapai, menjadi ibu kepada malaikat kecil. 

Mulanya kami merancang majlis resepsi sempena ulang tahun pertama perkahwinan kami ini sebagai majlis baby shower atau kesyukuran, tetapi Tuhan belum izin lagi kami untuk bergelar ibu dan ayah.

Kami sangat berharap agar doa-doa anda semua yang hadir di majlis kami akan dimakbulkan. Kita tidak tahu, antara kita semua, doa siapa yang akan diangkat dan dimakbulkan. Doakan kami.

H: Bagaimana Janna dan Dini melalui fasa penuh pengharapan tersebut?

D: Kami sentiasa ingatkan diri, apa yang sudah, sedang dan bakal terjadi adalah ketentuan Ilahi. Memang kami mahukan sangat zuriat tetapi dalam masa sama, kami ingatkan diri, percaya pada Tuhan.

Jangan pernah putus harapan dan Dia adalah sebaik-baik perancang. Sebab itu, kami berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kebahagiaan kami. Kami bersyukur sangat.

H: Janna mahu sambung belajar? Bila perancangannya? 

J: Saya memang sudah lama berhasrat hendak sambung belajar, tetapi Dini belum bagi keizinan. Rupanya dia sedang menyusun jadual kami supaya boleh pergi bersama-sama.

Perancangannya hujung tahun ini. Saya mahu belajar bidang perfileman. Di mana? Rahsia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×