SHAH ALAM: Tindakan dua beranak seleweng gas petroleum cecair (LPG) pada empat tahun lalu memakan diri apabila dipenjara sehari dan didenda keseluruhan RM240,000 oleh Mahkamah Tinggi, hari ini.
Tertuduh, Leong Yih Pak, 63 dan Leong Jun Yuan Yih, 36 yang berdepan enam pertuduhan itu dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Datuk Aslam Zainudin selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan dalam rayuan keputusan kes dikeluarkan Mahkamah Sesyen pada 28 Jun tahun lalu.
“Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan mahkamah rendah namun hukuman dipinda kepada denda RM20,000 bagi setiap enam pertuduhan dihadapi kamu atau penjara setahun sekiranya gagal bayar.
“Bagi pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) pula hukuman dipinda kepada penjara sehari bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak,” katanya.
Pada awal prosiding, Peguam Amer Hamzah Arshad dan Joshua Tay memaklumkan Jabatan Peguam Negara menerima representasi dikemukakan pihaknya dengan kali terakhir pada 27 Mei tahun lalu.
Berdasarkan representasi tersebut, hukuman penjara bagi setiap pertuduhan bermula tarikh sabitan 19 September 2021 sebelum ini diketepikan dan digantikan dengan denda RM20,000 bagi setup pertuduhan.
“Ini bermakna kedua-dua perayu didenda keseluruhan RM120,000 setiap seorang bagi enam pertuduhan yang dihadapi masing-masing.
“Bagi pelucuthakkan wang yang disita oleh pihak pendakwaan, kita tidak akan membantah permohonan lucuthak yang akan dibuat oleh mereka di Mahkamah Sesyen Selayang pada 28 Jun ini.
“Namun, tiga pertuduhan bawah AMLA yang dikenakan hukuman penjara diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara sehari yang berjalan serentak seperti yang dipersetujui dalam representasi,” jelasnya.
Sementara itu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi mengesahkan perkara tersebut dengan jumlah keseluruhan pelucutan hak adalah berjumlah RM457,502.79.
Berdasarkan tiga pertuduhan, anak beranak yang merupakan pekongsi Syarikat Perniagaan Soon Lee telah didakwa menjual barang kawalan iaitu LPG kepada syarikat Biomax Rubber Industries Sdn. Bhd dengan keseluruhan 11,528 tong LPG seberat 12 kilogram setiap satu dan telah melanggar Peraturan 9(2) (b) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kedua-duanya juga didakwa tiga lagi pertuduhan iaitu gagal menyelenggara buku stok barang berjadual iaitu LPG dengan tidak merekodkan butiran maklumat berkaitan harga, nama serta alamat pembeli seterusnya melakukan kesalahan dibawah 13 (1) peraturan sama
Kesemua perbuatan itu dilakukan dekat pejabat syarikat mereka di Taman Perindustrian Ehsan Jaya, Gombak antara 1 Mei hingga 31 Julai, 2017.
Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi badan korporat termasuk pengarah dan pegawai mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN










