Saya tidak akan tolak permintaan Najib

Saya tidak akan tolak permintaan Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn. Bhd., Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini yang beliau tidak mungkin membantah atau tidak melakukan arahan diberikan bekas Perdana Menteri yang juga pemegang saham tunggal syarikat itu, Datuk Seri Najib Razak. 

Ini kerana baginya, segala yang dilakukan oleh Najib adalah untuk kebaikan negara dan SRC International yang merupakan syarikat pelaburan strategik negara.

“Saya tidak akan menolak. Saya percaya apa yang beliau (Najib) cuba lakukan adalah sesuatu yang baik untuk negara dan SRC International. Itu realitinya,” kata Ismee.

Beliau juga ketika disoal oleh peguam Chong Yik Loong berkata, ketika itu tiada sebarang alasan untuk meragui atau mempersoal tindakan bekas Perdana Menteri tersebut.

Perkara iu dinyatakan Ismee ketika memberi keterangan sebagai pihak ketiga dalam kes saman sivil yang dikemukakan SRC International terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.

Pada 27 Mac lalu, bekas Pengarah SRC International Sdn. Bhd., Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak pernah meragui tindakan yang diambil oleh Najib berhubung dana RM4 bilion yang dipinjam oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP).

Sebaliknya beliau mempercayai setiap  tindakan yang dibuat oleh Najib dan Nik Faisal adalah demi kepentingan negara.

Menjawab pertanyaan berhubung pinjaman yang dibuat dengan KWAP yang memerlukan jaminan kerajaan, Ismee memberitahu, berdasarkan pengalamannya ketika bekerja dengan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad (Danaharta), ia adalah satu perkara yang sukar untuk dilakukan.

“Saya tahu untuk mendapatkan jaminan kerajaan bagi sesuatu pinjaman adalah satu benda yang sukar dan saya mengetahuinya ketika saya bekerja dengan Danaharta sebelum ini. Ia bukan mudah. Jadi saya agak terkejut apabila Nik Faisal beritahu apabila SRC International telah mendapatkan jaminan kerajaan.

“Saya (ketika itu) berasakan mungkin penelitian wajar telah dilakukan lebih awal. Saya (sebenarnya) terkejut apabila dimaklumkan bahawa SRC International telah berjaya mendapatkan pinjaman tersebut. Ia satu kejutan yang menggembirakan,” katanya.

Pada 7 Mei 2021, SRC International memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

Dalam tuntutan tersebut, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib dan Nik Faisal sebagai defendan.

Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral, Ismee dan bekas Pengarah SRC, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar

SRC International yang juga anak syarikat 1MDB selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 13 Jun ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN