KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman guru tadika, M. Indira Gandhi terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga lagi yang didakwa gagal melaksanakan perintah mahkamah untuk mendapatkan semula anak perempuannya yang dilarikan bekas suaminya.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas mendapati KPN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan segala usaha untuk menjejak bekas suami wanita itu, K. Patmanathan atau nama selepas memeluk agama Islam, Muhammad Riduan Abdullah, 51, dan memulangkan, P. Prasana Diksa kepada ibunya.
“Berdasarkan bukti yang dikemukakan, saya merumuskan KPN dan PDRM telah melaksanakan tugas mereka dalam cara yang difikirkan wajar. Cara mereka melaksanakan siasatan adalah mengikut budi bicara mereka yang luas dan saya tidak perlu untuk meragui mereka.
“Apa yang penting, terdapat bukti yang menunjukkan siasatan telah dijalankan dan masih berjalan. Saya juga mendapati KPN dan PDRM tidak mempunyai sebarang niat jahat dalam perkara ini.
“Tambahan pula, ini bukan satu situasi yang mana Patmanathan berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur atau di kawasan yang terdapat kehadiran polis dan anggota terbabit tidak mengambil tindakan. Sebaliknya, fakta dalam kes ini menunjukkan bahawa lokasi Patmanathan tidak diketahui malah terdapat bukti yang menunjukkan lelaki itu pernah berada di Thailand,” kata hakim itu.
Sehubungan itu, Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah memutuskan menolak saman tersebut tanpa membuat sebarang perintah mengenai kos.
Selain KPN dan PDRM, turut dinamakan sebagai defendan dalam saman tersebut ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia.
Mengikut saman yang difailkan pada 28 Oktober 2020, Indira memberitahu pada 29 April 2016, Mahkamah Persekutuan, Putrajaya mengekalkan perintah mandamus (memaksa) KPN untuk mematuhi dan melaksanakan perintah komital dan pengembalian semula kanak-kanak terbabit.
Bagaimanapun, sehingga hari ini KPN masih gagal atau enggan melaksanakan perintah-perintah tersebut walaupun mengetahui keberadaan bekas suaminya dan anak perempuannya itu.
Oleh itu, plaintif mendakwa defendan pertama mempunyai niat jahat dan sengaja tidak mengambil tindakan (tort of nonfeasance) untuk menangkap Muhammad Riduan dan mengembalikan Prasana Diksa kepadanya dan PDRM, KDN dan Kerajaan Malaysia didakwa bertanggungjawab atas keengganan defendan pertama itu.
Sehubungan itu, Indira Gandhi memohon deklarasi bahawa KPN telah melakukan tort of nonfeasance dan defendan kedua hingga keempat bertanggungjawab atas tindakan defendan pertama.
Turut dimohon ialah ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – UTUSAN










