SA Sentral bakal miliki pusat pameran perniagaan bertaraf antarabangsa - Utusan Malaysia

SA Sentral bakal miliki pusat pameran perniagaan bertaraf antarabangsa

SA Sentral
MAHMUD Abbas berucap pada Majlis Pra Pelancaran SIR 2024 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembangunan semula kawasan Pusat Bandar Shah Alam yang dinamakan sebagai Shah Alam (SA) Sentral akan melibatkan pembinaan pusat pameran perniagaan bertaraf antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas, selama ini pameran besar melibatkan agensi kerajaan negeri hanya boleh diadakan di Kuala Lumpur yang mempunyai kemudahan tersebut.

“Oleh itu, kita akan membina pusat pameran besar seperti di Kuala Lumpur di bandaraya ini. Kita juga maklum kalau hendak mewujudkan kawasan sedemikian selain pejabat kita juga kena ada pusat pameran.

“Sebab dulu kita rancang untuk membina Daerah Pusat Perniagaan sedemikian di Cyberjaya tetapi kita ada perubahan perancangan dan kita buat di sini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Selangor International Race (SIR) 2024, hari ini.

18 Mac lalu PKNS dilapor mendedahkan perancangan projek di dalam kawasan pembangunan milik PKNS di pusat bandar Seksyen 14 adalah sebahagian daripada usaha peremajaan bandar di Shah Alam yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Projek yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion tersebut akan membabitkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mall dan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Beliau menjelaskan, di bahagian tingkat bawah bangunan pusat pameran yang digambarkan seperti di KLCC, PKNS bercadang untuk menempatkan galeri yang akan memaparkan sejarah negeri ini.

Katanya, sejarah tersebut adalah berkisar tentang peranan kerabat diraja negeri ini dalam merealisasikan kewujudan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikatakan tidak mempunyai mercu tanda peristiwa yang boleh dirujuk oleh mana-mana pihak.

Mengulas lanjut mengenai pembinaan pusat pameran bersaiz besar tersebut, Mahmud berkata kos keseluruhan yang terlibat adalah sebanyak RM2 bilion.

“Kos RM2 bilion tersebut bukan semua datang dari PKNS (untuk pembinaan pusat pameran) tetapi ia termasuk kos keseluruhan termasuk pengambilan Plaza Perangsang, naik taraf, pembinaan kondominium dan kos membuat jalan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN