Remaja 13 tahun dieksploitasi kerja di bengkel kereta

Remaja 13 tahun dieksploitasi kerja di bengkel kereta

WARGA asing yang ditahan D3 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ketika Ops Pintas Mega di sekitar Puchong. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Polis menyelamatkan buruh warga asing berusia 13 tahun yang dikerah bekerja selama sembilan jam sehari dengan bayaran RM45 dalam serbuan di sebuah bengkel kereta di Taman Perindustrian Puchong Utama di sini, semalam.

Kanak-kanak lelaki tersebut antara lima buruh asing bawah umur yang berjaya diselamatkan oleh Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Pintas Mega.

Difahamkan, lingkungan gaji diperoleh mereka bermula daripada RM800 sehingga RM1,800 mengikut kepakaran.

Remaja terbabit berkata, dia bekerja di premis tersebut sejak setahun lalu ditugaskan membuat kerja-kerja mengecat kenderaan pelanggan dan bekerja selama enam hari seminggu.

“Saya datang dari Myanmar dan bekerja di sini lebih kurang satu tahun dan tinggal bersama bapa di sebuah rumah tak jauh dari kedai ini,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua remaja warga asing yang diselamatkan berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Jelasnya, fokus operasi untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang atau eksploitasi buruh paksa dengan berpandukan kepada Garis Panduan Kebangsaan Mengenai Petunjuk Pemerdagangan Manusia (NGHTI) 2.0.

“Hasil pemeriksaan dan serbuan berjaya menyelamatkan lima mangsa lelaki bawah umur di bawah Seksyen 44 Akta ATIPSOM 2007.

“Dalam operasi itu, seramai 22 lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 31 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 15 Akta ATIPSOM 2007 dan 55B Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini hari ini.

Menurut Soffian, pihaknya turut menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 41 sehingga 46 tahun berperanan sebagai pemilik, pengurus dan akauntan premis berkenaan di bawah Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Dalam kes berasingan, polis menahan empat individu selain menyelamatkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan di sebuah kedai mencuci kereta di Shah Alam, Selangor.

Sofian berkata, remaja itu diperayai berperanan sebagai pencuci kereta telah bekerja selama enam bulan di premis dengan bayaran gaji RM40.

“Tangkapan melibatkan dua lelaki Bangladesh dan dua Myanmar yang berusia 24 hingga 32 tahun.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 55B/6(1)(c) Akta Imigresen 1956/63,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN