KANGAR: UMNO Perlis perlu mengenalpasti segera calon-calon yang ingin diketengahkan dalam Pilihanraya Umum Ke -16 (PRU16) bagi merampas semula kemenangan di negeri ini daripada Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kepimpinan di peringkat negeri perlu melakukan kerja awal dengan mengenalpasti calon yang berkelayakan untuk bertanding di mana-mana kawasan parti itu yang kalah sebelum ini.
Beliau berkata, langkah tersebut juga membolehkan kepimpinan parti menilai prestasi calon berkenaan dalam tempoh tiga tahun akan datang sebelum tibanya PRU16.
“Kalau dia (calon diketengahkan itu) tak boleh perform, kita tak payah bagi dia jadi calon. Maksudnya di sini, kita ada masa untuk nilai dia dalam tempoh tiga tahun ini.
“Jadi kalau nak dapat Perlis ini semula, setiap ketua bahagian perlu duduk sekali dan cari pemimpin negeri yang hebat-hebat untuk ditempatkan di tiga kerusi Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mula buat kerja dari sekarang,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat UMNO Bahagian Arau di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), hari ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd Rahman dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.
Terdahulu, Johari dalam kunjungannya ke Perlis turut berkesempatan merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Besar.
Mengulas lanjut, Johari berkata, setiap ahli dan pemimpin UMNO perlu memberi tumpuan kepada parti sendiri dan tidak menyalahkan pihak lain susulan kekalahan dihadapi mereka pada PRU15.
“Kita kena tumpu ke dalam parti sendiri dan lihat bagaimana kita boleh baik pulih parti ini dengan melahirkan lebih ramai pemimpin muda masa akan datang,” katanya.
Tambahnya, formula yang digunakan itu dapat digunakan bagi mencari pemimpin untuk dicalonkan pada PRU16 sekali gus membantu kemenangan UMNO di Perlis.
“Selepas calon dikenalpasti, persediaan secara menyeluruh boleh dilakukan termasuk menyusun strategi tersendiri.
“Kita nak bangunkan semula perjuangan, dan kalau tak berjaya kita sambung lagi sehinggalah mampu meraih kemenangan,” katanya.-UTUSAN










