PRK 6 kerusi Parlimen mungkin tidak diadakan

PRK enam kerusi Parlimen mungkin tidak diadakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam Parlimen wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terhenti keahliannya secara serta-merta berkemungkinan tipis untuk diadakan.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, ini kerana terdapat beberapa aspek yang perlu menjadi pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum membuat keputusan.

Justeru, perkara itu berkemungkinan mempengaruhi Speaker untuk tidak mengosongkan kerusi.

“Di Dewan Rakyat, Speaker ada kuasa memutuskan. Kalau rasa wajar dan perkara itu selaras dengan akta lompat parti, beliau boleh isytihar kosong dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh panggil pilihan raya.

“Tetapi, mungkin ada beberapa halangan dan isu yang mungkin akan dipertimbangkan oleh Speaker untuk tidak kosongkan kerusi. Antaranya halangan dari segi tafsiran orang dipecat daripada parti. Dia bukan keluar parti, tetapi masih ahli Bersatu.

“Namun, paling layak buat tafsiran adalah mahkamah dan kemungkinan Speaker tunggu semakan kehakiman kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum buat keputusan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai potensi berlaku pilihan raya di enam kawasan wakil Rakyat Bersatu yang terhenti keahliannya secara serta merta.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Akhbar ini semalam melaporkan, Bersatu sudah menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi membabitkan enam ahli Parlimen terlibat kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Notis pemakluman kekosongan kerusi tersebut dibuat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan sudah pun diterima oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Dr. Mazlan berkata, usia Parlimen yang menghampiri tiga tahun juga menyukarkan kerusi itu dikosongkan kerana pilihan raya tidak boleh diadakan selepas tempoh itu.

Katanya, walaupun Parlimen penggal ke-15 hanya menginjak usia tiga tahun pada November tahun hadapan, perbicaraan mahkamah mungkin memakan masa lama.

“Kalau Speaker isytihar kosong pun, enam Ahli Parlimen ini akan mohon semakan (kehakiman), apabila mohon semakan akan memakan tempoh lama kalau ada perbicaraan.

“Jadi tidak nampak pilihan raya boleh diadakan dalam tempoh terdekat, sekali pun Speaker terima kekosongan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN