PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dicari polis selepas didakwa menghilangkan diri dengan teman lelakinya dalam kejadian di Taman Megah di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, satu laporan polis diterima berkaitan orang hilang yang dibuat oleh pengadu yang juga bapa kanak-kanak itu seorang lelaki Myanmar dan juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, lelaki berkenaan memaklumkan berlaku pergaduhan selepas menghantar anak perempuannya iaitu Nur Nisa nombor UNHCR 354-13C06027 ke kedai gunting rambut di Taman Megah di sini.
“Kanak-kanak yang memakai pakaian baju t-shirt dan jeans berwarna biru itu kemudian telah melarikan diri dengan seorang lelaki bangsa tidak dapat dipastikan menaiki kereta.
“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan orang hilang boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN









