Piala FA: TFC layak ke suku akhir, tewaskan Perak 2-1 - Utusan Malaysia

Piala FA: TFC layak ke suku akhir, tewaskan Perak 2-1

PEMAIN TFC, Ismaheel Akinade (tengah) dikawal ketat dua pemain Perak FC dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) bangkit dari ketinggalan untuk mengalahkan Perak, 2-1 dalam aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner membuat perhitungan dengan pemenang antara Sabah dan KL Rovers di pusingan suku akhir hujung bulan ini.

TFC bagaimanapun dikejutkan jaringan pembukaan pelawat apabila kegagalan benteng pertahanan mengeluarkan bola sepakan percuma Lee Tae-min dihukum Luis Henrique seawal minit keenam.

Skuad Penyu terpaksa menunggu sehingga minit ke-37 untuk mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti ketua pasukan, Safawi Rasid selepas Manuel Ott dikasari Tommy Mawat Bada.

TFC kemudian memiliki peluang terbaik namun rembatan deras Nurillo Tukhtasinov minit ke-40 tepat ke dakapan penjaga gol sebelum bola lambungan Marin Pilj seminit kemudian tinggi melepasi sasaran.

Serangan bertali arus TFC membuahkan hasil setelah bola sepakan kencang Pilj berpunca gerakan Ismaheel Akinade dari sebelah kanan berjaya menerjah jaring pada minit ke-42.

Perak meningkatkan rentak permainan pada babak kedua menyaksikan percubaan kaki kiri pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-58 melencong tinggi ketika penjaga gol sudah tertewas.

Aksi makin rancak seminit kemudian apabila TFC membuat percubaan berturut-berturut melalui Akhyar Rashid (m-59) dan Tukhtasinov (m-63) namun dinafikan penjaga gol.

Perak kemudian dirundung malang terpaksa beraksi 10 pemain selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan Muhamad Firdaus Saiyadi menyiku Safawi pada minit ke-68.

Kelebihan itu dimanfaatkan Sang Penyu untuk memperlahankan permainan dan meskipun berpeluang melebarkan jaringan, kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN