Pesara guru ‘bahagia’ kembali bergelar penoreh getah

Pesara guru ‘bahagia’ kembali bergelar penoreh getah

MOHD. Zamri Mat mengangkat getah sekerap di kebunnya untuk dijual kepada pembeli berlesen di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang bekas guru, Mohd. Zamri Mat tidak mahu `goyang kaki’ selepas persaraan sebaliknya memilih menoreh getah di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar di sini.

Dia juga tidak kisah walaupun ada segelintir rakan mempersoal keputusannya itu de­ngan mengatakan seolah-olah ‘duit pencen tidak cukup’ menampung untuk usia tua.

Mohd. Zamri, 58, berkata, menoreh getah sudah sinonim dalam kehidupannya sejak remaja untuk membantu keluar­ganya yang susah.

“Saya tidak kisah dengan anggapan sinis, tetapi lebih gembira apabila selepas solat Subuh berkereta dalam keadaan relaks dan santai ke kebun getah sejauh 20 kilometer dari rumah di bandar Jerantut.

“Hampir dua jam menoreh, kira-kira 180 batang pokok getah berusia 10 tahun siap ditoreh dan kemudian saya melakukan kerja pembersihan kebun sebelum pulang pada pukul 12 tengah hari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bekas Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mansok di sini itu berkata, dia tidak kekok menoreh getah walaupun pekerjaan tersebut sudah lama ditinggalkan, sebaliknya berasa seronok kerana dapat ke kebun pada setiap hari kecuali pada hari hujan sebagai terapi kesihatan.

“Setiap tujuh hari menoreh tidak termasuk hari hujan, saya jual getah beku atau sekerap seberat kira-kira 200 kilogram dan memperoleh kira-kira RM600 yang boleh digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan simpanan pengurusan kebun.

“Setiap bulan saya dapat menoreh getah dalam anggaran 18 hari, manakala hari lain tidak dapat ke kebun kerana hujan, tetapi pendapatan masih selesa dengan kadar kenaikan harga belian di sini sebanyak RM3.80 sekilogram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN