PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan harus mengambil langkah proaktif untuk menangani peningkatan jumlah calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang semakin meresahkan.
Statistik terbaru daripada KPM menunjukkan sebanyak 93.5 peratus atau 349,297 daripada 373,525 lepasan tingkatan lima layak mendapat sijil SPM 2024, namun di sebalik keunggulan yang dicanang, terdapat 10,160 calon tidak hadir menduduki peperiksaan dan 24,228 orang masih gagal mendapat sijil SPM.
Fenomena ini menimbulkan persoalan mengenai relevansi keputusan cemerlang SPM jika ramai calon tidak hadir untuk menduduki peperiksaan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, KPM dan pihak sekolah perlu mengambil langkah proaktif untuk mengatasi calon yang tidak hadir peperiksaan SPM dengan menyediakan lebih banyak bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar yang memerlukan.
Katanya, perkara ini bagi memastikan mereka mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti dan tidak terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja.
“Kementerian Pendidikan boleh memperkenalkan program kesihatan mental yang komprehensif di sekolah bagi membantu pelajar menangani tekanan dengan lebih berkesan serta mengembangkan program pendidikan jarak jauh dan e-pembelajaran untuk pelajar yang mempunyai masalah untuk hadir ke sekolah secara fizikal.
“Pihak sekolah juga boleh bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang boleh menyediakan sokongan tambahan kepada pelajar dari keluarga bermasalah atau kurang berkemampuan.
“Bagi jangka masa panjang, penyelesaian kepada masalah ini memerlukan usaha bersepadu dari pelbagai pihak termasuk kerajaan, sekolah, ibu bapa, dan komuniti untuk memastikan semua pelajar mempunyai peluang yang sama untuk menduduki peperiksaan SPM dan mencapai kecemerlangan akademik,” katanya. – UTUSAN