DUNGUN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menyelamatkan seekor tapir jantan yang terjatuh ke dalam lubang dipenuhi lumpur di sebuah ladang sawit, di Rantau Abang, dekat sini, semalam.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tapir terjatuh lubang yang digali pekebun bagi kerja-kerja meracun dan membaja tanaman itu daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia kira-kira pukul 6.30 petang.
“Kita dapati, hampir separuh badan tapir yang dianggarkan seberat 250 kilogram itu tenggelam dalam lubang pada kedalaman lebih 2.4 meter.
“Empat anggota Perhilitan Dungun dan Kemaman terpaksa menggali lubang secara manual menggunakan cangkul untuk mencetekkan lubang berikutan ketiadaan jentera berat kerana waktu sudah lewat petang dan hari cuti. Kalau nak tunggu pagi baru nak bawa keluar tapir, kita bimbang ia akan mengancam nyawa tapir,” katanya kepada ketika dihubungi di sini, hari ini.
Kean Seong berkata, selepas lubang digali, tapir tersebut kemudiannya ditarik dengan perlahan bagi memastikan tiada kecederaan ketika operasi menyelamat dilakukan.
“Kita mengambil masa agak lama iaitu kira-kira lima jam untuk membawa keluar tapir kerana menggunakan tenaga anggota Perhilitan sepenuhnya,” katanya.
Kean Seong berkata, haiwan liar itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Perhilitan Dungun untuk diperiksa dan dibersihkan.
“Tapir tersebut telah diberikan rawatan dan memandangkan keadaannya stabil serta tidak memerlukan rawatan susulan, haiwan itu kemudiannya telah dilepaskan ke hutan semulajadi yang sesuai kira-kira pukul 5.30 pagi tadi,” katanya. – UTUSAN










