Penyeludupan diesel merosot 40 peratus

Penyeludupan diesel merosot 40 peratus

AMIR Hamzah Azizan ketika Sesi Soal Lisan di Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO: JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelarasan subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan pada 10 Jun lalu membantu negara mengurangkan aktiviti penyeludupan bahan api itu ke negara jiran sehingga 40 peratus.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan sebanyak 40 peratus sejak pelaksanaan harga diesel di Semenanjung.

Menurut beliau, menerusi pelarasan tersebut menyaksikan jumlah jualan runcit di stesen minyak menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus untuk minggu pertama, berbanding minggu sebelumnya.

“Selain itu, jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak empat juta liter sehari yang memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini, sudah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran.

“Ini bermakna, trend peningkatan jualan diesel komersial menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi sudah berkurang,” kata beliau pada sesi penerangan menteri berkaitan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan melaksanakan Ops Tiris 3.0 di mana 570 kes dikendalikan melibatkan sitaan minyak diesel sebanyak lebih 5.1 juta liter dengan anggaran nilai hampir RM12 juta setakat 22 Jun lalu.

Jelasnya, operasi tersebut melibatkan RM46 juta nilai rampasan aset serta peralatan dan 275 tangkapan ke atas individu-individu terlibat.

“Susulan keputusan untuk menyasarkan subsidi diesel mulai 10 Jun lalu, KPDN juga telah menggerakkan OPS KESAN 2.0 seawal 2 Mei lalu bagi memantau impak pelaksanaan serta memastikan tiada elemen pencatutan berlaku selaras dengan undang-udang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Setakat 20 Jun, sebanyak 2,100 premis telah diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 210 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara.

“Sehingga kini sebanyak tujuh kes telah dikenal pasti hasil pelaksanaan OPS KESAN 2.0. Analisis pencatutan akan disediakan bagi tujuan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen mencatut terhadap notis-notis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan dijangka meraih penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion susulan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.

Katanya, penjimatan tersebut akan dimanfaat untuk menambah baik mutu hidup rakyat melalui penyediaan infrastruktur awam berkualiti serta perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.

“Perlu juga untuk ditekankan bahawa, berbanding dengan kos subsidi diesel RM14 bilion tahun 2023, penjimatan RM4 bilion setahun bermakna kerajaan masih menanggung subsidi diesel sehingga RM10 bilion, antaranya untuk menampung subsidi di Sabah dan Sarawak (RM3 bilion), subsidi untuk sektor pengangkutan awam dan sektor logistik di Semenanjung Malaysia (RM4 bilion), bantuan tunai untuk pemilik kenderaan individu dan pengusaha kecil agri-komoditi (RM2 bilion) serta subsidi diesel nelayan (RM1 bilion).

“Maknanya, walaupun kerajaan telah mengambil langkah menyasarkan subsidi bagi mengurangkan ketirisan dan penyeludupan tetapi, golongan yang memerlukan akan terus menerima bantuan dan subsidi diesel,” jelasnya.

Kata beliau, ekonomi negara masih mencapai unjuran rasmi kerajaan terhadap kadar inflasi tahun ini iaitu antara dua peratus hingga 3.5 peratus dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar antara empat ke lima peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN