Penoreh harap harga getah terus meningkat

Penoreh harap harga getah terus meningkat

SULONG Jusoh dan Sopiah Mamat menoreh di kebun getah di Kampung Rawai, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penoreh getah di negeri ini mengharapkan penetapan harga getah sekerap di pasaran terus meningkat berbanding RM4 sekilogram pada masa ini.

Mereka akan lega sekiranya harga getah terus naik sehingga RM5 dalam tempoh terdekat ini kerana dapat membantu penoreh menambah pendapatan.

Seorang penoreh, Sulong Jusoh, 74, dari Kampung Rawai di sini berkata, kenaikan harga getah di negara ini bermula pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, penoreh getah akan dapat menarik nafas lega sekiranya harga komoditi itu terus melambung tinggi.

“Saya menoreh getah bersama isteri, Sopiah Mamat, 83, di kawasan kebun seluas 1.2 hektar dan memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sebulan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sulong berkata, pada masa sama, terdapat pihak yang mendakwa harga penetapan getah itu kemungkinan turun berikutan harga di pasaran dijangka tidak menentu selepas ini.

Seorang lagi penoreh, Anisah Ramli, 52, dari Kuala Berang, Hulu Terengganu berkata, peningkatan harga getah sekerap didorong permintaan tinggi di pasaran akibat kekurangan hasil disebabkan cuaca panas melanda beberapa negeri.

“Alhamdulillah kalau harga getah sekerap terus naik dan lebih mahal selepas ini, memang kita seronok sangat sebab membantu mengurangkan beban penoreh getah.

“Setakat ini, saya kumpulkan getah sekerap dua minggu sekali, sebelum dijual kepada pemborong pada harga RM3.70 sekilogram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN