Peniaga buah dipenjara 3 tahun rompak rokok di kedai serbaneka

Peniaga buah dipenjara 3 tahun rompak rokok di kedai serbaneka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang peniaga buah kerana melakukan rompakan bersenjata di kedai serbaneka, Februari lalu.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Aznill Abd. Kadim, 35, selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Aznill didakwa secara bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas merompak empat kotak rokok jenama Winston 20’s bernilai RM63.60 dengan menggunakan sebilah parang.

Kesalahan itu didakwa di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sentul di sini pukul 5.20 pagi pada 28 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 dan Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Terdahulu semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan untuk berubah ke arah  lebih baik.

“Saya hendak perbaiki diri dan ingin menjadi anak bertanggungjawab terhadap kedua ibu bapa saya,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd. Latip memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN