TAWAU: Seorang penjawat awam yang bertugas di sebuah sekolah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki menyalah guna kuasa bagi mendapatkan dua perolehan perkhidmatan penyewaan mesin fotostat dan kerja pemasangan sinki serta perpaipan berjumlah kira-kira RM40,000.
Menurut sumber, suspek wanita berusia 50-an itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi hari ini ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Tawau.
Susulan penahanan itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau bagi tujuan pertuduhan esok.
“Suspek disyaki menggunakan jawatannya pada tahun 2020 sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) untuk mendapatkan suapan dengan mempelawa sebuah syarikat bagi perkhidmatan penyewaan mesin fotosat dan pencetak yang bernilai kira-kira RM20,000 sedangkan kerja tersebut dilakukan oleh suspek sendiri.
“Pada tahun sama, suspek juga disyaki menggunakan jawatannya untuk memilih syarikat yang dimiliki suaminya untuk kerja pemasangan sinki, perpaipan dan lain-lain yang juga bernilai kira-kira RM20,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes akan dituduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










