PETALING JAYA: Peguam kepada ibu arwah Zayn Rayyan Abdul Matiin, Mahmud Jumaat tidak mengetahui motif sebenar mengapa pihak tertentu menyebarkan dokumen didakwa kertas siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu dalam media sosial.
Beliau berkata, semua pihak sudah tentu mempunyai hak untuk dibela selain menyerahkan kepada sistem kehakiman untuk menegakkan keadilan.
Kata beliau, tindakan pihak yang menjatuhkan ‘hukuman’ sedangkan kes dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik terbabit masih di peringkat awal pendakwaan, adalah tidak wajar.
“Buat masa ini, semua orang ada hak untuk dibela dan kita (peguam bela) pun tidak dapat tahu (fakta kes) kerana dokumen belum dapat lagi.
“Tidak wajar dan tidak adil menghukum seseorang dengan hanya bergantung kepada dokumen yang tidak tahu kesahihan. Kita serahkan kepada pihak kehakiman untuk menegakkan keadilan,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan dalam media sosial.
Ditanya mengenai tindakan pihak yang menyamakan kes terbabit dengan kes remaja Sindrom Down dikenali Bella, Mahmud berkata, ia berbeza kerana pelaku kes berkenaan sudah dibuktikan bersalah manakala kes Zayn Rayyan baru saja bermula.
“Saya menyerahkan siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjalankan tindakan sewajarnya bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Beri ruang kepada keluarga bela diri melalui sistem undang-undang negara,” katanya.
Kata beliau, buat masa ini difahamkan pihak keluarga tidak menerima sebarang ancaman fizikal susulan penyebaran maklumat berkenaan dalam media sosial dan dimaklumkan anak guamnya juga berada dalam keadaan baik.
Tular dalam media sosial tangkap layar mendakwa maklumat siasatan kes Zayn Rayyan yang tersebar sehingga mencetuskan kegusaran orang ramai yang sentiasa mengikuti perkembangan kes kanak-kanak terbabit.
Semalam, polis menerima dua laporan berhubung kebocoran kertas siasatan didakwa berkaitan kes Zayn Rayyan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan polis berkenaan masing-masing dibuat oleh ahli keluarga Zayn Rayyan dan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes pembunuhan itu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (Pendedahan Maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN










