KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyumbang lebih 8,000 beg darah kepada Pusat Darah Negara (PDN) sejak 18 tahun lalu.
Koloborasi strategik antara PDRM dan PDN memanfaatkan ramai pesakit terutama pesakit kronik yang memerlukan darah.
Timbalan Pengarah 1 PDN, Dr. Tun Maizura Mohd Fathullah berkata, setiap hari sebanyak 2,000 sehingga 2,200 beg darah diperluka untuk merawat kira-kira 1,000 pesakit.
Kata beliau, PDN memerlukan 600 hingga 700 beg darah sehari untuk membekalkan kepada 80 hospital kerajaan dan hospital swasta.
“Kita sangat menghargai koloborasi strategik antara PDRM dan PDN dalam melakukan tanggung awab sosial, andalah wira sebenar,”katanya dalam ucapan pada Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Bukit Aman hari ini.
Sementara itu, teks ucapan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang dibacakan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, Program Derma Darah bukan sekadar acara tahunan semata-mata malah ia menjadi bukti kolaborasi strategik antara PDRM dan PDN.
“Kita masih belum dapat menghakis stigma yang membelenggu persepsi bahawa menderma darah boleh memudaratkan kesihatan dan mendatangkan kesan sampingan termasuklah peningkatan berat badan.
“Akibatnya PDN berhadapan dengan kemelut kekurangan bekalan darah.
“Peranan PDRM kepada masyarakat tidak hanya terbatas kepada aspek keselamatan dan ketenteraman awam semata-mata, tetapi juga meliputi usaha murni yang merupakan tanggungjawab sosial kita kepada masyarakat,” jelasnya. – UTUSAN








