KUALA LUMPUR: Seramai 490 orang pesalah dengan jumlah sitaan lebih RM258 juta ditangkap kerana mengancam kehidupan Harimau Malaya yang jumlahnya semakin susut.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) sudah melaksanakan sembilan tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya yang diluluskan Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021.
Menurut beliau, antara pendekatan ialah mengukuhkan usaha bagi menghentikan penurunan populasi haiwan tersebut dengan meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi dan memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya.
“Antara usaha yang dilaksanakan telah menunjukkan perkembangan positif adalah sebanyak 429 kes telah direkodkan Sejak tahun 2019 sehingga April 2024 di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti yang melibatkan tangkapan seramai 490 orang pesalah dengan jumlah sitaan lebih RM258 juta.
“Selain itu, aspek perundangan juga diperkukuhkan melalui penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 pada 1 Februari 2023.
“Ini termasuk meningkatkan denda maksimum daripada RM500,000.00 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun sebagai salah satu pendekatan pencegahan,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syerleenaa Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berhubung usaha-usaha bagi menambah populasi Harimau Malaya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang), Tiong Sii berkata, Perhilitan menubuhkan pusat risikan dan anti jenayah hidupan liar untuk menangani jenayah penjualan hidupan liar di dalam talian.
“Selain itu, unit Wildlife Cyber Crime juga sudah ditubuhkan untuk jalankan pemantauan dan pengumpulan maklumat aktiviti penjualan haram hidupan liar secara dalam talian dengan kerjasama agensi penguatkuasaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.- UTUSAN











