Padang Arafah 'dibasahi' tangisan keinsafan

Padang Arafah ‘dibasahi’ tangisan keinsafan

Kerajaan Arab Saudi membekalkan alat pemancut air untuk mengurangkan hawa panas semasa jemaah haji berwukuf di Arafah pada suhu mencecah 45 darjah Celcius semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINA: Ketibaan kira-kira dua juta jemaah dari seluruh dunia di Padang Arafah bermula semalam menandakan kemuncak ibadat haji musim 1445H/2024M.

Bacaan talbiyah, zikir dan doa bergema di setiap khemah.

Namun, memasuki waktu Zohor, suasana yang sebelumnya hening mula ‘dibasahi’ tangisan keinsafan para jemaah.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, masing-masing memanfaatkan tempoh itu dengan membaca al-Quran dan berdoa sebaik-baiknya.

Seorang jemaah dari Bachok, Kelantan, Nik Mohd. Jaafar, 73, bersyukur perjalanan hajinya dipermudahkan hingga ke kemuncak menunaikan rukun haji iaitu wukuf di Arafah.

Katanya, sebagai tempat paling mustajab berdoa, peluang itu akan diisi dengan bertaubat sepenuh hati kepada Yang Maha Esa.

“Sukar saya gambarkan rasa seronok dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT. Inilah peluang terbaik untuk saya memohon ampun atas dosa-dosa yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ramli Zakaria, 77, sebak dapat menyempurnakan ibadah haji yang selama ini menjadi impiannya.

“Saya datang dari jauh dengan perjalanan yang memakan masa berjam-jam dan apabila dapat menjejakkan kaki ke tanah suci, ia ibarat mimpi jadi kenyataan.

“Mungkin ini adalah peluang pertama dan terakhir saya datang ke rumah Allah sebagai duyufurrahman, terima kasih ya Allah, semoga ada peluang lagi untuk saya datang ke sini,” katanya.

Dalam pada itu, suhu panas sehingga 45 darjah Celsius tidak menghalang kelancaran para jemaah menunaikan ibadah haji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×