KUALA TERENGGANU: Seorang nelayan dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mencuri duit tabung surau, awal bulan ini.
Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd. Shukri membuat keputusan itu hari ini setelah Mohd. Kasyful Azim Harun, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit tabung di dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat simpanan harta di sebuah surau di Kampung Bukit Depu pada 9.30 pagi, 1 Jun lalu.
Tertuduh yang memiliki dua rekod lampau atas kesalahan sama didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri dalam bangunan.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 4 Jun.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd Ali manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Mohd. Kasyful Azim turut dipenjara lima tahun dan satu sebatan atas kesalahan menghisap dadah.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya
Mengikut pertuduhan, Mohd. Kasyful Azim didakwa memasukkan dadah amphetamine dan methamphetamine di dalam badan yang merupakan kesalahan ketiga pernah dilakukannya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 C (1) (b) dan dibaca bersama Seksyen 38B ADB 1952.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 5 September 2023.
Prosiding pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad. – UTUSAN










