Muda belum putuskan bertanding PRK Sungai Bakap

Muda belum putuskan bertanding PRK Sungai Bakap

MUDA pernah bertanding atas tiket PH bagi kerusi Parlimen Kepala Batas di Pulau Pinang pada PRU-15 yang lalu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Parti Ikatan Demokratik Muda (MUDA) belum memutuskan sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Penerangan MUDA negeri, Muhammad Danial Abdul Majeed.

Menurut Muhammad Danial, sehingga kini, perbincangan tersebut masih berlangsung ke­rana belum ada kata putus yang dicapai oleh pimpinan parti.

“Kita ada calon, namun, untuk bertanding atau tidak, ia masih lagi dalam perbincangan dan hanya (pimpinan) Pusat yang akan umumkan (bertan­ding atau tidak).

“Secara jujur, benda ini masih dibincangkan sampai sekarang berikutan beberapa faktor tak seimbang. Akan ada beberapa mesyuarat sebelum kata putus (dicapai),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebuah portal berita dalam talian sebelum ini memetik kenyataan sumber bahawa parti itu mungkin meletakkan calon bertanding di kerusi DUN Sungai Bakap berikutan reputasi Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin ‘menyusut’.

Pemimpin parti di negeri itu yang enggan dinamakan berkata, Muda mempunyai peluang ‘selepas kerja lapangan dilakukan di Pulau Pinang terutama di kawasan tersebut’.

Mengulas lanjut, Muhammad Danial mengakui PRK kerusi DUN Sungai Bakap pen­ting sebagai medan atau platform untuk menilai sokongan rakyat di Pulau Pinang.

“Apapun, kita belum buat keputusan. Masih nak kumpul data dan sebagainya kerana kami (Muda) tidak pernah bertanding untuk kerusi itu sebelum ini. Jadi, perlu banyak kajian,” jelas beliau.

Parti yang diasaskan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu sebelum ini pernah membuat kemunculan sulung di Pulau Pinang apabila bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Kepala Batas melalui Muhammad Danial.

Meskipun gagal menyaingi dua calon pilihan ketika itu iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Dr. Siti Mastura Muhammad yang masing-masing memperoleh 25,737 dan 28,604 undi, Muhammad Danial yang bertan­ding atas tiket Pakatan Harapan (PH) ketika itu masih berjaya memberikan saingan apabila memperoleh 14,214 undi.

Pencapaian dengan jumlah undi yang agak tinggi walaupun tewas itu boleh dianggap agak mengejutkan memandang­kan usia Muda ketika itu baru sahaja mencecah ‘setahun jagung’ khususnya di Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN