BANGI: Seorang wanita hamil enam bulan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas pertuduhan mencari pelanggan untuk aktiviti pelacuran menerusi aplikasi media sosial menggunakan nama ‘Miza Ozawa’.
Siti Amiza Baharuddin, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd. Nawawi.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 24 Jun ini bagi fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pilihan, Siti Amiza didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah unit kondominium di Bukit Mahkota di sini pukul 4 petang pada 6 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam prosiding sama, Siti Amiza turut dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda berjumlah RM12,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan lain pada waktu dan di tempat sama.
Bagi pertuduhan memiliki bahan lucah, wanita itu dipenjara sebulan dan denda RM6,500 atau tujuh bulan penjara.
Pertuduhan memiliki ubat tidak berdaftar tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dia didenda RM6,000 atau penjara enam bulan.
Siti Amiza didakwa memiliki bahan-bahan lucah yang terkandung dalam komputer riba dan tiga telefon bimbit miliknya, mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara bagi pertuduhan memiliki ubat tidak berdaftar dengan KKM, Siti Amiza didakwa memiliki dua kotak Secret Negro dan dua kotak Dara Jelita yang melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran atas kesemua kesalahan dan hukuman berjalan berasingan.
Namun Siti Amiza dalam rayuannya memohon denda dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan selepas wang simpanannya untuk bersalin sudah dirampas pihak berkuasa.
“Saya menyara hidup sendiri dan mohon denda seminimum mungkin,” katanya.
Pada 14 Jun lalu, media melaporkan dua gadis tempatan bawah umur berusia 12 dan 17 tahun, antara lima individu yang ditahan di Kajang pada 6 Jun lalu kerana disyaki menggunakan media sosial untuk mempromosi dan terlibat dalam aktiviti pelacuran.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, selain mereka, dalangnya, seorang wanita berusia 27 tahun dikenali sebagai ‘Miza Ozawa’ serta dua warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia 20 dan 26 tahun.
Menurut Mohd. Shuhaily, siasatan awal menunjukkan selain menjual produk seks tidak berdaftar dalam talian, mereka juga menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.
Menurut Mohd. Shuhaily, siasatan turut mendapati kumpulan itu mampu menjana pendapatan sehingga RM20,000 sebulan daripada hasil kegiatan pelacuran dan penjualan produk seks. – UTUSAN








