Minuman keras disorok bawah timbunan tong biru dirampas

Minuman keras disorok bawah timbunan tong biru dirampas

MOHD. Nasir Deraman (tengah) menunjukkan minuman keras yang dirampas dalam sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan Kastam, Sepanggar di Kota Kinabalu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Taktik menyeludup masuk minuman keras pelbagai jenama yang disembunyikan di bawah timbunan tong-tong biru dan diletakkan dalam muatan sebuah lori, berjaya dikesan pihak berkuasa.

Muatan lori mengandungi 2,500 karton minuman keras itu dirampas ketika dalam perjalanan dari Wilayah Persekutuan Labuan ke Kota Kinabalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd. Nasir Deraman berkata, pihaknya menahan lori berkenaan yang membawa muatan minuman keras pelbagai jenama pada 12 Jun lalu di Kampung Novoung, Papar.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa muatan 30 buah tong biru yang diletakkan dan disusun di permukaan atas muatan lori berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas muatan lori tersebut mendapati terdapat 2,500 karton minuman keras bertanda Duti Malaysia Tidak Berbayar yang diletakkan di bawah timbunan tong-tong biru tersebut.

“Anggaran nilai minuman keras yang dirampas berjumlah RM68,766 manakala, anggaran jumlah duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM278,457.60.

“Turut dirampas sebuah lori anggaran nilai RM100,000 dan lain-lain barang bernilai RM4,000. Jumlah keseluruhan rampasan RM451,223.60,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan Kastam, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan pemandu lori berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun bagi membantu siasatan.

Mohd. Nasir berkata, kes disiasat di bawah 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengangkut barang tidak berkastam bagi tujuan mengelak membayar cukai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN