MINDEF perluas bantuan pendidikan kepada anak-anak kakitangan

MINDEF perluas bantuan pendidikan kepada anak-anak kakitangan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Bantuan IPTA dan Universiti Luar Negara Tahun 2024 kepad anak-anak Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Pertahanan. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) bakal memperluaskan program bantuan pendidikan kepada anak-anak kakitangannya pada tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha tersebut bagi menghargai dorongan daripada kakitangannya.

“Kalau tiada dorongan (daripada) mereka yang terlibat dengan kementerian maka sudah tentu semuanya tidak (berjalan dengan) lancar di Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Jadi anak kakitangan MINDEF juga kita akan masukkan dalam program-program ini (program bantuan pendidikan,” katanya berucap di Majlis Penyampaian Bantuan IPTA dan Universiti Luar Negara Tahun 2024 di Auditorium Wisma Pertahanan.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan bantuan pendidikan kepada 94 pelajar IPTA dan ULN yang menyaksikan setiap seorang mendapat antara RM1,000 ke RM2,000.

Dalam majlis sama, beliau turut menyaksikan penyampaian sumbangan mock cheque bagi Program Sentuhan Elit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sebanyak RM295,704 daripada ILTIZAM by Ekuinas untuk membantu melaksanakan program tersebut sebagai tanda sokongan jitu dalam memberi bimbingan serta membantu persediaan anak-anak warga ATM serta MINDEF.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, MINDEF tidak hanya menjadikan program bantuan pendidikan sebagai rutin semata-mata tetapi mempunyai objektif tersendiri.

Jelasnya, insentif dan bantuan seperti program tersebut sebenarnya merupakan satu bentuk penghargaan daripada kerajaan dan MINDEF kepada jasa serta pengorbanan ATM.

“Selain memastikan latihan mencukupi, aset moden dan terkini serta aspek-aspek kebajikan atau kesejahteraan hidup para anggota ATM yang bersifat secara langsung, kita mesti turut menumpukan kepada aspek kesejahteraan yang bersifat tidak langsung.

“Jadi, hasrat dan cita-cita saya untuk melihat kejayaan pendidikan anak-anak ATM. Saya yakin ia adalah salah satu faktor utama yang dapat mencetus moral dan ketenangan kepada anggota-anggota ATM,” jelasnya. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN