SHAH ALAM: Maybank dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) jalin kerjasama strategik tawar pembelian rumah dengan kemudahan pinjaman daripada institusi perbankan itu sehingga 120 peratus meliputi pembiayaan ubah suai dan kelengkapan.
Kerjasama menerusi perjanjian persefahaman (MOU) itu bertujuan melihat lebih ramai masyarakat daripada pelbagai latar belakang memiliki kediaman mampu milik, berkualiti dan lengkap dengan kelengkapan dalaman rumah serta dekorasi diimpikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Maybank, Taufik Albar berkata, disamping pembiayaan perumahan, kerjasama strategik itu bertujuan membantu pemilik rumah memiliki dekorasi dalaman rumah impian mereka menerusi kemudahan pembiayaan yang mudah diakses.
“Kerjasama strategik tersebut selaras dengan objektif sehala kami untuk memperkasa dan memudahkan pemilikan rumah untuk pelanggan kami. Ia dilakukan dengan memahami dan memenuhi kehendak asas mereka pada setiap detik kehidupan yang sentiasa berubah.
“Kami menyediakan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan kami, sejajar dengan tujuan kami untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan dengan memudahkan perjalanan pemilikan rumah atau Home Ownership Journey mereka.
“Pembiayaan inovatif seperti MyDeco Maybank ditawarkan untuk membantu pemilik rumah dalam merealisasikan rumah idaman mereka dengan bantuan aliran tunai tambahan melalui fasiliti tersebut,” katanya dalam ucapan pada Majlis Menandatangani MOU Maybank dan PKNS, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNS, Datuk Mahmud Abbas memberitahu, inisiatif tersebut dilihat dapat membantu pemilik rumah memiliki dekorasi dalaman rumah impian mereka menerusi kemudahan pembiayaan yang mudah diakses.
“PKNS memahami dan menyedari yang ramai pemilik kediaman baharu menghadapi cabaran dalam pengubahsuaian rumah mereka atas faktor kekurangan bajet, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi hari ini di mana harga barangan semakin mencanak naik.
“Oleh itu, dengan kerjasama bersama Maybank, PKNS menawarkan pakej pembiayaan MyDeco Maybank bagi membantu untuk mengurangkan kekangan kewangan pembeli dan merealisasikan rumah impian mereka,” ujarnya. – UTUSAN










