PUTRAJAYA: Tema bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM 2024) pada tahun ini dipilih sebagai Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pada tahun ini Jemaah Menteri bersetuju untuk mengekalkan logo yang sama seperti tahun sebelumnya.
“Malaysia Madani merupakan tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai
teras utama.
“Manakala, Jiwa Merdeka menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif,” katanya pada Majlis Pengumuman Logo serta Tema HKHM 2024.
Mengenai program sepanjang Bulan Kebangsaan, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi selaku Jawatankuasa Induk HKHM 2024 memulakan gerak kerja sambutan itu dengan pelbagai program yang telah dan akan dilaksanakan di seluruh negara.
Jelasnya, kemeriahan sambutan HKHM 2024 dimulakan dengan penganjuran Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 pada 19 Mei lepas di Stesen Sentral, Kuala Lumpur, manakala Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 akan diadakan pada 13 Julai ini.
“Signifikan majlis pelancaran ini adalah bagi mengira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya.
“Seterusnya, momentum kemeriahan dan semangat patriotik akan terus disuburkan sehingga sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 Sept ini di Sabah,” katanya. – UTUSAN










