PETALING JAYA: Pasukan Malaysia muncul juara dalam acara sulung Kejohanan Golf Persahabatan Antarabangsa yang berlangsung di Saujana Golf & Country Club (SGCC), Subang, dekat sini baru-baru ini.
Kejohanan anjuran SGCC sebagai tuan rumah itu disertai 76 pemain yang terdiri daripada ahli-ahli rangkaian kelab golf terkemuka dari 12 negara antaranya New Zealand, Jerman, Sweden, Jepun, Korea, Australia dan UK.
Pasukan Malaysia dibarisi seramai 40 pemain diketuai Thum Wai Choong, manakala pasukan antrabangsa tampil dengan 36 pemain di mana William Houng-Lee dari New Zealand sebagai kapten pasukan.
Dalam kejohanan itu, Pasukan Malaysia berjaya meraih 970 mata kiraan format Stableford mengatasi pasukan antarabangsa yang hanya mengumpul 919 mata, sekali gus membolehkan pasukan negara menggondol Trofi Tan Sri Megat Zaharuddin.
Presiden SGCC, Tan Sri Megat Zaharuddin yang mencetuskan idea kejohanan itu berkata, kejohanan sulung antarabangsa itu diadakan bertujuan memupuk ikatan dan persahabatan dalam kalangan ahli-ahli kelab.
“Kejayaan menghimpunkan ahli-ahli kelab dari pelbagai negara untuk menyertai kejohanan ini adalah satu penghargaan dan kejayaan. Saya juga teruja apabila semua peserta gembira dan pada masa yang sama mendapat kawan baharu.
“Objektif utama kita adalah untuk membina rasa setia kawan dengan semua peserta baik lelaki mahupun wanita. Bagaimanapun, kemenangan pasukan Malaysia cukup menggembirakan kami.
“Saya juga menerima cadangan daripada peserta untuk menambah baik acara ini untuk masa hadapan. Justeru, saya berharap jawatankuasa penganjur dapat memperkenalkan idea-idea baharu yang dapat menggalakkan semua ahli menyertai acara ini pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.
Pada kejohanan sulung itu juga, juara kelab SGCC sebanyak lima kali, June Yap muncul sebagai Pemain Terbaik Malaysia selepas merekod 73 pukulan dengan kutipan 40 mata Stableford.
Manakala tiga pemain pasukan Antarabangsa iaitu Robert Adriaans dianugerahkan gelaran Individu Terbaik selepas menyumbang 39 mata Stableford, diikuti Sun Ji Hun (Korea) dan Hiroko Dake (Jepun). – UTUSAN










