PETALING JAYA: Lima lagi individu diambil keterangan dalam kejadian keracunan makanan dipercayai selepas memakan bihun goreng dan telur yang disediakan untuk program di sebuah sekolah di Gombak dekat sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mereka yang diambil keterangan membabitkan ahli keluarga, patologi dan penyedia makanan.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang dirakam percakapan seramai 13 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, polis mengesahkan telah merakam keterangan lapan individu bagi membantu siasatan dalam kejadian keracunan makanan itu.
Kelmarin, media melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumian seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan sarapan pagi pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) di Gombak, Sabtu lalu.
Terdahulu, media melaporkan bayi berusia dua tahun dan lelaki 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami cirit-birit akibat makan bihun dan telur yang dibawa pulang dari sebuah program sekolah di daerah ini, Sabtu lalu. – UTUSAN








