LHDN kesan ketirisan cukai urus niaga mata wang kripto

LHDN kesan ketirisan cukai urus niaga mata wang kripto

Datuk Abu Tariq Jamaluddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengesan ketirisan hasil cukai dalam perdagangan mata wang kripto bagi menambah baik pentadbiran cukai negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, mana-mana individu yang terlibat dengan perdagangan mata wang kripto di negara ini adalah tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia.

“Mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti perdagangan mata wang kripto diminta tampil membuat pelaporan cukai di mana-mana pejabat LHDN berdekatan dengan kadar segera sebelum tindakan pematuhan diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Abu Tariq mengesahkan satu operasi pematuhan khas, Op Token yang dijalankan pihaknya bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi mengesan ketirisan cukai dagangan mata wang digital ini.

Katanya, seramai 38 anggota daripada agensi-agensi tersebut digerakkan dalam operasi itu di 10 lokasi berbeza sekitar Lembah Klang secara serentak.

“Menerusi operasi ini, didapati data-data perdagangan mata wang kripto yang disimpan dalam peranti mudah alih dan komputer berjaya diperoleh.

“Ia bagi mengenal pasti nilai aset digital yang didagangkan sehingga menyebabkan ketirisan hasil cukai yang amat signifikan,” katanya.

Beliau berkata, data yang diterima akan dianalisa secara terperinci bagi mendapatkan nilai aset mata wang kripto yang diperdagangkan dan keuntungan yang dijana daripada kegiatan tersebut.

Ia sekali gus mengenal pasti nilai ketirisan cukai sebenar yang tidak pernah dilaporkan kepada LHDN.

Jelasnya, tindakan operasi ini juga menemui beberapa entiti syarikat dan perkongsian liabiliti terhad sengaja diwujudkan untuk menjadi pengantara kepada transaksi perdagangan mata wang kripto tersebut semata-mata bagi mengelakkan pelaporan cukai.

“Pelaksanaan operasi ini diharap mencapai objektifnya dalam memperluaskan asas hasil dengan mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan cukai.

“Ia seterusnya menyumbang kepada kelestarian kutipan hasil negara,” katanya.

Maklumat berkaitan Garis Panduan Layanan Cukai Ke Atas Transaksi Mata Wang Digital boleh dimuat turun menerusi capaian pantas seperti berikut: https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/GP_LAYANAN_CUKAI_KE_ATAS_TRANSAKSI_MATA_WANG_DIGITAL.pdf

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN