Lelaki Thailand didenda RM20,000 miliki petrol tanpa lesen - Utusan Malaysia

Lelaki Thailand didenda RM20,000 miliki petrol tanpa lesen

SAYADEE A-Awang (kanan) dijatuhi hukuman denda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu minyak petrol, April lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki warga Thailand didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki barang kawalan iaitu minyak petrol tanpa lesen, April lalu.

Tertuduh, Sayadee A-Awang, 30, juga berdepan hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, Sayadee didakwa memiliki barang kawalan sebanyak 92 liter minyak petrol dalam tangki utama kenderaan nombor pendaftaran Thailand AC 4615 BTG yang telah menimbulkan syak munasabah dengan menjual secara runcit atau borong tanpa lesen.

Perbuatan yang melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 itu dilakukan di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu pada pukul 7 pagi, 23 April 2024.

Pertuduhan ke atas lelaki itu dibuat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen­ 22 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Hasyutantee Khalil memohon tertuduh dikenakan hukuman denda sekurang-kurangnya RM8,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar selain kenderaan tertuduh dan wang hasil jualan minyak petrol dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Hakim Rohaida kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,0000 kepada tertuduh atau berdepan hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah juga memerintah agar kenderaan milik tertuduh dan wang hasil jualan minyak petrol dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Tertuduh membayar denda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×