GEORGE TOWN : Polis kini sedang menggiatkan usaha memburu seorang lelaki yang dipercayai telah melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing sehingga mati.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, terdahulu, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penghantar makanan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.58 malam tadi.
Katanya, pengadu mendakwa telah melihat suspek dari Kota Giam membuang sebuah guni ke dalam Parit Kota Giam, Jelutong di sini kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.
Razlam berkata, curiga dengan perbuatan itu kerana mendapati ada benda yang bergerak-gerak dalam guni berkenaan, pengadu kemudian mengambilnya sebelum memeriksa kandungan guni terbabit.
“Pengadu mendapati terdapat seekor kucing di dalamnya dan apabila dia cuba untuk menyelamatkan kucing itu, kucing tersebut telah pun mati.
“Pengadu kemudian menanam bangkai kucing tersebut,” katanya yang memberitahu, kes tersebut kini disiasat di bawah Sek. 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Semalam, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika mengecam tindakan membungkus kucing dalam guni sebelum mengikat dan melemparnya ke dalam sungai oleh suspek yang dikenali sehingga menyebabkan haiwan itu mati.
Arie turut berharap agar individu zalim yang melakukan aksi jenayah terhadap haiwan itu dapat diheret ke muka pengadilan.
“Kes jenayah haiwan ini mempunyai cukup saksi yang mengenali pelaku.
“Justeru, dengan bukti dan saksi yang ada, maka pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu serius menegakkan Sistem Keadilan Jenayah Haiwan mengikut peruntukkan undang-undang di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 supaya dapat menegah daripada jenayah seterusnya berlaku dalam masyarakat oleh pelaku,” katanya.-UTUSAN










