Laporan PAC projek LCS dibahas di Parlimen?

Laporan PAC projek LCS dibahas di Parlimen?

Mesyuarat Parlimen kali ini dijangka membahaskan laporan PAC mengenai projek pembinaan kapal LCS yang gagal diisiap mengikut jadual.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang gagal disiapkan, mungkin antara isu yang bakal dibahas dalam mesyuarat Parlimen nanti.

Ini setelah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul merancang supaya laporan prosiding jawatankuasa pilihan khas Parlimen dibahas dalam mesyuarat itu, termasuk laporan PAC yang pernah mendedahkan kepincangan projek LCS bernilai berbilion ringgit.

Parlimen membuka semula tirai Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat selama 15 hari bermula hari ini sehingga 18 Julai depan.

Johari memberitahu, langkah itu diambil sebagai antara reformasi Parlimen mengambil kira cadangan beberapa pihak supaya isu-isu berbangkit oleh jawatankuasa dibawa ke Parlimen dan dibahas oleh ahli Dewan Rakyat.

“Rakyat melihat bahawa PAC satu-satunya jawatankuasa yang aktif, namun sebenarnya tidak begitu. Ada juga jawatankuasa lain.

“Sebab itu, sekarang saya merancang menetapkan dalam tempoh beberapa hari dalam setiap persidangan untuk laporan disediakan jawatankuasa dibawa ke Dewan dan dibahas,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Perolehan enam kapal LCS yang dilaksana secara rundingan terus dengan nilai kontrak asal berjumlah RM9.128 bilion adalah perolehan paling besar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dan salah satu projek paling besar Kerajaan Malaysia.

Kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS).

Pun begitu, Johari tidak menyebut secara khusus berkenaan isu LCS, sebaliknya mana-mana laporan jawatankuasa Parlimen termasuk yang disediakan oleh PAC.

Bagaimanapun, pada Oktober 2023, Johari dilaporkan berkata akan memastikan laporan PAC berhubung projek LCS dibahas di Parlimen., selepas mengadakan lawatan kerja ke LimbunJohari gan Boustead Naval Shipyard, Markas TLDM di Lumut, Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN