Lampu isyarat simpang WCE, Latar di Assam Jawa beroperasi September ini - Utusan Malaysia

Lampu isyarat simpang WCE, Latar di Assam Jawa beroperasi September ini

Assam Jawa
LAMPU isyarat persimpangan WCE, Latar di Assam Jawa dijangka beroperasi September ini membolehkan pengguna dari arah Ijok terus memasuki Plaza Tol Assam Jawa, di Kuala Selangor, Selangor. - Gambar CKE JKR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lampu isyarat dekat persimpangan yang menghubungkan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Lebuhraya Kuala Lumpur – Kuala Selangor dan Jalan Sungai Buloh – Kuala Selangor dijangka beroperasi pada September tahun ini.

Kerja-kerja pembaikan lampu isyarat tersebut dijadualkan bermula pada minggu ini termasuk penyelenggaraan lampu jalan di sepanjang Jalan Sungai Buloh – Kuala Selangor (FT54) di jajaran Penjara Sungai Buloh hingga Kampung Assam Jawa.

Menerusi perkongsian oleh Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, sebelum ini berlaku kerosakan kabel dan peti lampu isyarat persimpangan berkenaan.

Menurutnya, kerosakan tersebut menyebabkan persimpangan itu masih ditutup walaupuan WCE bagi jajaran Klang – Kuala Selangor sudah pun dibuka pada akhir tahun lalu.

“Persimpangan lampu isyarat ini tidak dapat dibuka sepenuhnya sejurus WCE dibuka kepada orang awam JKR Kuala Selangor terpaksa menutup sebahagian simpang ke WCE disebabkan sistem lampu isyarat di lokasi itu terdapat masalah kerosakan

“Kerja-kerja pembaikan sepenuhnya sistem lampu isyarat itu dan juga lampu jalan (jajaran Penjara Sungai Buloh – Simpang Assam Jawa) akan bermula minggu ini dan jangka disiap sepenuhnya bulan September,” katanya menerusi Facebook.

Dalam makluman sama, CKE JKR memaklumkan JKR Selangor menerima aduan paling banyak berhubung persimpangan tersebut terutama selepas Plaza Tol Assam Jawa WCE boleh dilalui.

Dalam pada itu, CKE JKR memberitahu kerja penyelenggaran lampu jalan di laluan Jalan Negeri B77, Jalan Kelab selesai sepenuhnya.

“Pemasangan lampu isyarat di Simpang Teluk Piah, Laluan Jalan Negeri B27, sudah siap pasang 70 peratus, dalam peringkat kerja pemasangan kawalan lampu isyarat dan pemasangan kabel serta sambungan bekalan elektrik TNB dijangka beroperasi pada bulan depan.

“Pemasangan lampu jalan jenis solar LED di Jalan Klang – Teluk Intan, di seksyen 486 – berdekatan warung Cendol Borhan siap sepenuhnya. Lokasi itu adalah lokasi kerap kemalangan. Pemasangan lampu jalan dibawah inisiatif Peruntukan Program Keselamatan Jalan, bawah Kementerian Kerja Raya Malaysia. Harap dapat membantu orang awam memandu dengan lebih selamat di kawasan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, WCE ketika dihubungi memaklumkan kerap menerima aduan daripada pengguna yang mahu memasuki persimpangan lebuh raya berkenaan terutama dari arah Ijok.

“Memang ada aduan diterima, antaranya pengadu mendakwa terpaksa membuat pusingan ‘U’ sejauh hampir 10 kilometer untuk memasuki Plaza Tol Assam Jawa. Bagaimanapun WCE berkomunikasi dengan JKR Selangor untuk memaklumkan perkara tersebut.

“Justeru, diharapkan jika terdapat sebarang aduan berkenaan persimpangan tersebut boleh ajukan terus kepada JKR kerana ia di bawah kawal selia mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN