KPDN serbu kilang suplemen kecantikan guna logo halal tidak sah - Utusan Malaysia

KPDN serbu kilang suplemen kecantikan guna logo halal tidak sah

SEBUAH kilang mengeluarkan suplemen kecantikan diserbu kerana disyaki menggunakan logo halal tidak sah di Pokok Sena, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kilang suplemen kecantikan yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah terhadap produk jualannya di Pokok Sena.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pihaknya turut merampas barangan yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta dalam serbuan bersepadu bersama Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

“Lokasi serbuan merupakan sebuah premis rumah kedai di kawasan Pokok Sena. Premis berkenaan disyaki menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan ke atas produk jualannya berupa suplemen kecantikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Nizam berkata, premis tersebut bukan pemegang sijil halal yang diperakukan oleh pihak berkuasa berwibawa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis itu telah menggunakan logo halal pada setiap label pek bungkusan pelbagai jenis produk keluaran syarikat tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan diambil di bawah Perenggan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan maksimum RM500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Sementara itu dalam kes berasingan, sebuah premis perniagaan di Pekan Kepala Batas, Jitra diambil tindakan kerana menjual barang kawalan petroleum gas cecair (LPG) secara runcit tanpa lesen yang sah setelah KPDN menerima aduan orang awam.

“Pasukan serbuan yang melakukan penyamaran melaksanakan uji beli ke atas LPG yang dijual oleh syarikat terbabit bagi mengenal pasti harga jualan sebenar. Didapati LPG berkapasiti 12 kilogram (kg) itu dijual pada harga RM25 setong berbanding harga kawalan RM22.80 sen.

“Pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut turut mendapati lesen bagi menjalankan perniagaan menjual LPG secara runcit telah tamat tempoh pada 28 Mei lalu. Sehubungan itu peniaga tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sebanyak empat buah tong LPG jenama Petronas dengan nilai rampasan keseluruhan RM408.40 sen disita pihaknya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×