KPDN beri kelulusan serta-merta permohonan lengkap SKDS

KPDN beri kelulusan serta-merta permohonan lengkap SKDS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memberikan kelulusan serta merta bagi permohonan lengkap SKDS yang meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, proses permohonan adalah mudah dan cepat kerana syarikat hanya perlu mengisi maklumat terhad dan pengesahan boleh dibuat segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sehubungan itu, katanya, syarikat-syarikat yang tersenarai dalam 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan yang berkelayakan adalah disarankan membuat permohonan segera.

Jelasnya, permohonan tersebut boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ dan surat kelulusan akan dikeluarkan serta-merta untuk membolehkan syarikat pengangkutan yang berjaya terus membuat permohonan kad fleet kepada syarikat-syarikat minyak pilihan melalui sistem yang sama. 

“Kelulusan yang diperolehi sehingga 30 Jun 2024 membolehkan syarikat pengangkutan memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat-syarikat minyak pilihan. 

“Selaras dengan kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pada 12 Jun lalu, bayaran tuntutan balik akan dilaksanakan bermula Julai 2024 untuk mereka yang mendaftar dan mendapat kelulusan SKDS sehingga 30 Jun 2024 sahaja dan prosedur permohonan tuntutan dan tatacara pembayaran balik akan dimaklumkan oleh MOF dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, KPDN juga mengingatkan semua syarikat yang telah diluluskan SKDS agar tidak menyalahgunakan kad fleet yang diberikan bagi tujuan selain daripada syarat kelayakan permohonan kenderaan yang telah diluluskan.

“Sekiranya berlaku penyalahgunaan kad fleet oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, KPDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik kelulusan kad fleet kenderaan terbabit.

“Setakat 8 pagi, 23 Jun 2024, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah sebanyak 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.

“KPDN juga sedang menyelaraskan rayuan-rayuan sektor pengangkutan tertentu yang ingin menyertai SKDS untuk dibawa kepada Jawatankuasa Rayuan melibatkan pelbagai kementerian serta agensi dan seterusnya diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Selain itu, KPDN juga menegaskan agar semua peniaga terutama kepada mereka yang menerima kemudahan subsidi diesel melalui fleet card tidak menaikkan harga dengan memberikan alasan penetapan harga diesel baharu sebagai punca kenaikan harga barangan atau perkhidmatan mereka.

“KPDN telah menggerakkan semua kekuatan anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di seluruh negara untuk terus memantau harga barang atau perkhidmatan di semua peringkat rantaian. Sekiranya didapati berlaku aktiviti pencatutan,maka KPDN akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN