Kontrak jamin beli hak cipta Deko Ibadah tidak wujud - AlHijrah

Kontrak jamin beli hak cipta Deko Ibadah tidak wujud – AlHijrah

ZULKARNAEN MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Stesen televi­syen TVAlhijrah menafikan per­nah mengeluarkan atau menan­da­tangani sebarang kontrak per­janjian pembelian hak cipta kan­dungan daripada produksi WWS Studios yang juga milik pelakon, Dharma Harun Al-Rashid.

Menurut Pemangku Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Kandungan TVAlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, pihaknya hanya bertanggungjawab untuk menyiarkan program Deko Ibadah pada 2022 sesuai dengan perjanjian yang telah dibuat bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai pemberi dana.

“2021, Finas memberi Dana Pelaksana kepada rumah pro­duksi bagi menghasilkan kan­du­ngan untuk mana-mana ste­sen televisyen. Syaratnya, sya­rikat produksi perlu melalui se­si pitching bersama stesen te­le­visyen.

“Bila sudah terpilih, barulah Finas akan memberikan dana kepada mereka. Ketika itu, TVAlhijrah sebagai stesen televisyen bertanggungjawab untuk menyiarkan 20 kandungan daripada pelbagai produksi.

“Kami juga percaya pihak Finas telah melunaskan bayaran dana yang dijanjikan kepada setiap produksi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Namun begitu, Zulkarnaen berkata, selepas setahun kan­dungan ditayangkan, keba­nyakan syarikat produksi akan menawarkan hak cipta program mereka untuk dijual kepada stesen televisyen.

“Selepas siaran tahun pertama ramai yang tawar untuk jual hak cipta kandungan kepada kami. Ada yang beri percuma, tawarkan separuh harga kerana sudah didanai Finas namun ada yang menjual harga penuh se­perti produksi milik Dharma.

“Namun begitu, kami selaku pihak stesen televisyen tiada peruntukan membeli hak cipta kandungan tersebut.

“Pelbagai syarikat produksi yang hubungi kami. Selalunya jika berminat, kami akan teruskan rundingan. Jika tidak, kami akan senyap dan tidak memberi respons,” katanya.

Tambah Zulkarnaen lagi, setakat ini, kontrak yang dimiliki AlHijrah bersama produksi, WWS Studios hanyalah kebenaran siaran dan bukannya mewajibkan stesen televisyen ini membeli hak cipta kandungan program Deko Ibadah secara kekal.

“Mungkin terdapat kekeliruan di sini. Dalam kontrak yang ditandatangani bersama Finas, hanya dinyatakan syarat bahawa jika syarikat produksi mahu jual hak cipta, mereka boleh tawarkan kepada TV Alhijrah terlebih dahulu.

“Tapi tiada kewajiban untuk kami beli hak cipta kandungan tersebut,” jelasnya.

Sebelum itu, pelakon filem era 80-an, Dharma Harun, mendedahkan sudah enam bulan gagal mendapatkan penjelasan mengenai pembatalan perjanjian rancangan terbitannya di stesen televisyen AlHijrah.

Pelakon Adik Manja itu mendakwa syarikat penyiaran berkenaan enggan memberikan kerjasama walaupun telah menandatangani kontrak membeli hak cipta rancangan terbitannya, Deko Ibadah bernilai RM312,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×