Konsesi pengerukan dan penambakan IMW ditamatkan - Loke

Konsesi pengerukan dan penambakan IMW ditamatkan – Loke

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan konsesi pengerukan dan penambakan Integrated Marine Works Sdn Bhd (IMW) ditamatkan atas pelanggaran syarat-syarat perjanjian.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, penamatan perjanjian konsesi antara kerajaan, pihak berkuasa pelabuhan dan syarikat IMW yang dimeterai pada 30 Mei 2022 telah dipersetujui Jemaah Menteri pada 29 Mei lalu.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan notis kemungkiran bertarikh 29 Januari lalu kepada syarikat dengan tempoh remedi selama tiga bulan sehingga 29 April lalu, namun IMW gagal untuk meremedikan pelanggaran terma perjanjian.

“Antara pelanggaran terma perjanjian adalah IMW menukar pemegang saham tanpa kebenaran kerajaan kerana semasa perjanjian ditandatangani, syarikat IMW dimiliki sepenuhnya oleh Inai Kiara Sdn Bhd.

“Walau bagaimanapun, sekitar bulan Julai 2023, MOT mendapat makluman bahawa syarikat Inai Kiara telah pun digulung (wind up) melalui Perintah Gulung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 11 April 2023,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, pemegang saham syarikat IMW ditukar daripada Inai Kiara kepada Inai Warisan tanpa kebenaran kerajaan.

Loke berkata, susulan itu, syarikat IMW melanggar salah satu terma perjanjian di mana berdasarkan perjanjian, pihak syarikat tidak boleh menukar pemegang saham tanpa kebenaran kerajaan.

“Syarikat IMW juga didapati gagal membuat pembayaran caj konsesi bagi tahun 2023 seperti mana yang termaktub dalam perjanjian konsesi.

“Akhirnya, notis penamatan dikeluarkan kepada pihak IMW pada 11 Jun 2024. Malah, kami tidak akan melantik syarikat konsesi baharu susulan penamatan ini,” katanya.

Katanya, dasar baharu akan digubal bagi menggalakkan pertumbuhan industri pengerukan dan penambakan dalam kalangan syarikat tempatan yang lebih berdaya saing demi pembangunan pelabuhan-pelabuhan negara.

Tanbahnya lagi, kebanyakan projek pengerukan dan penambakan di pelabuhan-pelabuhan Persekutuan adalah dibiayai oleh operator-operator pelabuhan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN