IPOH: Polis menahan 15 individu bagi membantu siasatan insiden pergaduhan dua kumpulan hingga menyebabkan seorang mangsa putus pergelangan tangan dalam kejadian berhampiran Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan itu termasuk membabitkan enam lelaki berusia 23 hingga 37 tahun yang ditahan reman lima hari sebelum ini.
“Sembilan tangkapan lagi telah dibuat termasuk seorang lelaki hari ini. Kesemua mereka berusia antara 35 hingga 50 tahun.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kesemua suspek mendapati positif dadah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek lain untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Polis menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut ke atas kesemua tahanan itu. Sebaik sahaja siasatan lengkap, kertas siasatan akan dimajukan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai keadaan mangsa yang parah, beliau berkata, lelaki itu yang putus pergelangan tangan kiri telah menjalani pembedahan bagi menyambung semula anggota badan tersebut.
“Tangan mangsa berjaya disambung semula dan dia kini dalam rawatan dan menjalani fisioterapi,” ujar beliau
Menerusi laporan media pada Ahad lalu, pergelangan tangan manusia dengan kesan darah dijumpai anggota bomba yang menjalankan operasi memadam kebakaran sebuah kereta berhampiran Hospital Bahagia Ulu Kinta.
Berikutan kejadian tersebut, siasatan dijalankan di mana pemilik tangan itu berjaya dikesan dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Dalam kejadian itu, dua lagi rakan mangsa turut parah dan dirawat di hospital sama dengan kecederaan hampir putus pergelangan tangan kiri dan putus urat tapak tangan kiri.
Kejadian dikatakan berpunca daripada pergaduhan antara ketiga-tiga lelaki itu dengan sekumpulan 20 lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dan kayu.
Punca pergaduhan itu dipercayai kerana perebutan kawasan pengedaran dadah. – UTUSAN










