SHAH ALAM: Polis akan memanggil pihak penganjur, guru sekolah dan ibu bapa mangsa kes keracunan makanan di sebuah sekolah agama di Gombak, yang dipercayai telah mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak perempuan dan remaja lelaki, 8 Jun lalu dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan kes terbabit setelah menerima dua laporan polis.
“Dua laporan polis itu dibuat oleh ibu bapa mangsa yang meninggal dunia.
“Setakat ini, polis membuka kertas siasatan dua kes ini di bawah kes mati mengejut (SDR),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kanak-kanak berumur 1 tahun 7 bulan dan remaja berumur 17 tahun meninggal dunia dipercayai maut setelah memakan bihun goreng dan telur mata yang didakwa berubah rupa dan rasa.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Ummi Kalthom Samsudin berkata, seramai 82 daripada 247 pelajar daripada 30 buah sekolah mengalami gejala keracunan makanan setelah dipercayai memakan makanan itu setelah terlibat dalam Program Kemahiran Amal Islam (KAMIL) peringkat daerah Gombak di sekolah tersebut. – UTUSAN










